AM > BERITA

Penggunaan Kod QR Di KLIA Berjaya Atasi Kesesakan, Pelepasan Minimum Lima Saat

19/12/2025 04:26 PM

SEPANG, 19 Dis (Bernama) -- Penggunaan kod respons pantas (QR) bagi proses pelepasan dan ketibaan di pintu masuk negara yang diperkenalkan awal tahun ini berjaya mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kecekapan operasi, dengan penumpang melalui pelepasan dalam tempoh lima hingga tujuh saat.

Pengenalan teknologi itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 di sini terbukti mengurangkan isu kesesakan yang sering berlaku di pintu masuk negara terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.

Tinjauan mendapati penumpang yang menggunakan teknologi QR menerusi aplikasi MyBorderPass tidak perlu beratur panjang sebaliknya menikmati aliran pergerakan yang lebih lancar dan tersusun berbanding kaedah manual atau pagar automatik konvensional.

Warga emas, Tan Choo Lan, 72, berkata penggunaan QR untuk pelepasan di imigresen sememangnya menjimatkan masa dan penumpang tidak perlu beratur panjang untuk ke balai pelepasan.

“Saya memang selalu gunakan kod QR kerana tidak perlu pegang pasport, boleh simpan dalam beg sahaja dan ia lebih selamat,” katanya kepada Bernama. 

Juruterbang Alif Rahim, 40, berkata penggunaan kod QR membantu mempercepat proses pelepasan terutama pada waktu puncak dan memudahkan kelancaran bagi kru penerbangan. 

“Penggunaan kod QR juga memudahkan pelancong dan saya memang gunakan aplikasi ini kerana ia sangat efisien,” katanya.

Bagi Mohd Safri Azman, pengunaan kod QR memberikan pengalaman berbeza kerana pengguna tidak lagi beratur panjang bagi proses pelepasan imigresen.

“Ia memang sangat memudahkan, cepat dan tidak sesak,” katanya yang ingin bercuti ke Vietnam bersama keluarganya. 

Kerajaan memperkenalkan inisiatif pengunaan kod QR bagi pelepasan di KLIA Terminal 1 dan 2 sejak awal tahun ini dalam usaha mengurangkan kesulitan rakyat, termasuk menangani isu kesesakan di pintu masuk negara yang sering menyebabkan masa menunggu yang panjang.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor berkata inisiatif penggunaan kod QR bakal memberikan pengalaman perjalanan yang lebih pantas, lancar dan efisien kepada rakyat Malaysia.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan