SEOUL, 19 Dis (Bernama-Yonhap) -- Korea Selatan akan mewajibkan orang ramai menjalani pengecaman wajah apabila mendaftar nombor telefon mudah alih baharu sebagai sebahagian daripada usaha membanteras penggunaan telefon yang didaftarkan secara haram bagi tujuan penipuan, lapor Agensi Berita Yonhap memetik kementerian sains negara itu pada Jumaat.
Di bawah pelan berkenaan, Korea Selatan akan mewajibkan tiga syarikat telekomunikasi utama negara itu iaitu SK Telecom Co., KT Corp. dan LG Uplus Inc., serta pengendali rangkaian maya mudah alih, melaksanakan langkah pengesahan tambahan itu bagi menghalang pengaktifan nombor baharu melalui kecurian identiti.
Pengumuman dibuat susulan pendedahan satu set langkah menyeluruh untuk memerangi penipuan suara (voice phishing) pada Ogos lalu, termasuk hukuman lebih berat terhadap syarikat telekomunikasi yang gagal melaksanakan usaha pencegahan mencukupi.
“Dengan membandingkan gambar pada kad pengenalan dengan wajah sebenar pemegangnya secara masa nyata, kami boleh menghalang pengaktifan telefon yang didaftarkan atas nama palsu menggunakan kad pengenalan yang dicuri atau dipalsukan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Menurut kementerian, langkah itu akan menyukarkan penipu untuk mendaftar dan mengaktifkan telefon baharu menggunakan maklumat yang diperoleh melalui serangan penggodaman.
Dasar baharu itu dijadual dilaksanakan secara rasmi pada Mac 2026, dengan pelaksanaan percubaan dijangka bermula minggu depan.
Jumlah kes penipuan suara yang dilaporkan mencecah 21,588 setakat November tahun ini, dengan jumlah kerugian mencapai 1.13 trilion won (US$760 juta), melepasi paras satu trilion won buat kali pertama, menurut kementerian itu dengan memetik laporan agensi polis.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial