AM > BERITA

Nasyrul Quran Mulakan Cetakan 20,000 Mushaf Terjemahan Tamil

19/12/2025 06:53 PM

PUTRAJAYA, 19 Dis (Bernama) -- Nasyrul Quran, pusat percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia hari ini memulakan proses percetakan 20,000 mushaf al-Quran dengan terjemahan bahasa Tamil sebagai sebahagian daripada projek Solidariti Wakaf Sejuta Al-Quran.

Majlis pelancaran simbolik cetakan itu disempurnakan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan bersama Pengerusi Yayasan Restu Datuk Dr Abdul Latif Mirasa dan Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) merangkap Pengerusi Ops Ihsan Jismi Johari.

Nasyrul Quran dalam satu kenyataan hari ini turut memaklumkan kesediaan 20,000 naskhah al-Quran wakaf untuk dihantar ke Zanzibar, Tanzania bagi menyokong pendidikan Islam dan memperkasakan komuniti Muslim di wilayah tersebut yang sangat memerlukan naskhah al-Quran berkualiti.

“Bagi bantuan pascabencana iaitu Malaysia, Aceh dan Selatan Thailand, sebanyak 10,000 naskhah al-Quran wakaf telah dikhaskan untuk misi penggantian naskhah yang rosak akibat bencana alam,” menurut kenyataan itu.

Ahmad Maslan dalam kenyataan sama berkata usaha berkenaan bukan sekadar aktiviti percetakan tetapi merupakan tanggungjawab dakwah yang melangkaui sempadan geografi.

"Melalui inisiatif Sejuta Al-Quran, kami ingin memastikan tiada umat Islam yang tercicir daripada memiliki naskhah Al-Quran yang mampu mereka fahami.

“Cetakan 20,000 naskhah al-Quran berserta terjemahan bahasa Tamil ini adalah langkah strategik untuk mendekati jutaan penutur bahasa tersebut, manakala agihan wakaf ke Zanzibar dan kawasan banjir adalah bukti solidariti umat Islam Malaysia terhadap saudara seagama di luar negara,” katanya.

Projek Solidariti Wakaf Sejuta Al-Quran diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyebarkan risalah Al-Quran dengan terjemahan pelbagai bahasa ke seluruh dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan