AM > BERITA

Kerajaan Komited Perkasakan Institusi Pondok Seluruh Negara

20/12/2025 03:37 PM

BANTING, 20 Dis (Bernama) -- Kerajaan akan meneruskan usaha pemerkasaan institusi pondok di seluruh negara menerusi pendekatan lebih sistematik selaras dengan amanah yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata usaha itu telah dimulakan dan dilaksanakan secara berperingkat bersama-sama institusi pondok di seluruh Malaysia bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh pelajar, guru serta masyarakat setempat.

Beliau berkata institusi pondok atau madrasah memainkan peranan penting dalam memelihara jati diri dan pemikiran umat Melayu Islam, bukan sahaja melalui pendidikan, tetapi juga sebagai pusat penyemaian nilai akhlak serta kefahaman agama, selain relevan bagi menghadapi cabaran masa hadapan. 

“Institusi pondok telah memberikan sumbangan yang sangat besar sejak dari awal kemerdekaan, tetapi hari ini kita mahu melihat institusi pondok lebih ke hadapan.

“Menerusi perbincangan bersama dengan guru-guru tadi nampak sangat positif dan kita akan susun atur rancangan sebaik-baiknya untuk merangka satu gerak kerja yang lebih sistematik,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Pondok Moden Tahfiz Saadah Addaarain Teluk Panglima Garang di sini hari ini.

Zulkifli berkata sebagai usaha jangka panjang dalam memperkasakan institusi pendidikan agama, kerajaan telah menubuhkan Sekretariat Pondok yang diuruskan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) untuk menyelaras gerak kerja pemerkasaan institusi pondok secara lebih tersusun.

Beliau berkata kerajaan akan meneliti kaedah untuk memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberikan impak lebih besar dan berkesan, bukan sahaja kepada institusi pondok secara keseluruhan, malah kepada pelajar dan guru yang menjadi teras kepada ekosistem pendidikan Islam.

Katanya, kerajaan melihat institusi pondok sebagai komponen penting dalam pembangunan masyarakat, khususnya dalam membentuk jati diri dan nilai murni generasi masa kini.

“YADIM telah mula melaksanakan pelbagai gerak kerja, termasuk penganjuran Muzakarah Umara’ dan Ulama’ Pondok Kebangsaan 2025 (UMARA) yang menghimpunkan ulama dan umarak di beberapa lokasi seperti Putrajaya, Kelantan dan Terengganu.

“Institusi pondok bukan sahaja berperanan dalam pendidikan agama, tetapi turut menyumbang secara signifikan dalam pembinaan sahsiah dan jati diri ummah,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan