AM > BERITA

KKDW Peruntuk RM1.5 Juta Bangunkan Komuniti, Agenda Luar Bandar Di DUN Sungai Rambai

21/12/2025 01:15 PM

JASIN, 21 Dis (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM1.5 juta bagi penganjuran program komuniti dan agenda luar bandar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ini termasuk Mini Karnival Usahawan Desa @ Festival D'Bendang Melaka 2025 di Kem Benteng Negara selama tiga hari bermula Jumaat dan berakhir hari ini.

"Kerajaan negeri amat menghargai kerjasama erat KKDW dalam memperkukuh ekosistem luar bandar melalui pembangunan ekonomi, peningkatan kemahiran serta penglibatan aktif komuniti yang seterusnya menjadi pemangkin utama pembangunan modal insan luar bandar. 

"Saya yakin, pendekatan bersepadu seumpama ini akan terus menjadi penanda aras transformasi komuniti luar bandar, seiring aspirasi kerajaan negeri untuk melahirkan masyarakat yang berdaya saing, progresif dan mampan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mini Karnival Usahawan Desa @ Festival D'Bendang Melaka 2025 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Ab Rauf berkata kerajaan negeri sentiasa komited untuk memperkukuh pembangunan kawasan luar bandar agar terus berkembang secara mampan dan berdaya saing.

Beliau berkata dalam konteks Sungai Rambai, potensi agropelancongan berasaskan bendang akan terus dipacu melalui sokongan dasar, peruntukan strategik dan penyelarasan antara agensi.

"Sungai Rambai ini sememangnya indah dengan landskap dan kaya dengan hasil pertanian, khususnya produk berasaskan padi yang menjadi identiti kawasan ini.

"Justeru, karnival ini adalah wadah terbaik untuk memperkenalkan dan mempromosikan kekayaan produk tempatan kepada pengunjung dari dalam dan luar negeri," katanya.

Lebih 100 usahawan dan peniaga tempatan menyertai karnival tiga hari tersebut selain turut menampilkan 42 acara sukan rakyat bagi menghidupkan semula nostalgia, menghubungkan generasi dan mengembalikan kenangan zaman dahulu, merentas usia dan latar belakang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan