AM > BERITA

Sistem e-Kehakiman Cepat, Mudahkan Urusan Kes Mahkamah

21/12/2025 01:59 PM

Oleh Nordiana Barka dan Nor Fariza Mohd Razhi

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Sistem e-Kehakiman memainkan peranan penting dalam transformasi digital kehakiman negara, sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan kes serta memperluas akses keadilan kepada orang ramai.

Pengarah Bahagian e-Kehakiman Harmi Thamri Mohamad @ Shaharudin berkata platform digital yang mula dilaksanakan oleh Badan Kehakiman pada 2011 ialah satu daripada langkah transformasi untuk mengatasi isu peningkatan jumlah kes di mahkamah yang turut menyumbang kepada kelewatan pelupusan kes.

Beliau berkata sistem e-Kehakiman mempunyai beberapa komponen utama antaranya Sistem Pengurusan Maklumat atau Case Management System (CMS), iaitu sistem pendaftaran kehadiran dan panggilan kes dalam mahkamah, Sistem e-Filing (eFS) dan Portal e-Kehakiman.

Beliau berkata sistem e-Filing hanya boleh diakses oleh peguam dan agensi kerajaan, manakala CMS untuk pengguna di mahkamah seperti hakim, pegawai kehakiman dan petugas mahkamah.

“Sistem e-Filing juga dilengkapi dengan modul e-Review, sebuah platform digital yang boleh digunakan oleh pengguna sistem e-Filing untuk menghadiri prosiding kes sivil secara dalam talian.

“Sebelum modul ini diperkenalkan, peguam dan pegawai agensi kerajaan dikehendaki hadir ke mahkamah bagi setiap prosiding yang ditetapkan termasuk sesi pengurusan kes sivil,” katanya yang memaklumkan bagi orang awam dan syarikat persendirian pula, komponen sistem e-Kehakiman yang boleh diakses secara terus ialah Portal e-Kehakiman.

Susulan pelaksanaan sistem e-Kehakiman, Harmi Thamri berkata jumlah kesesakan pelanggan di mahkamah berjaya dikurangkan dan prosiding mahkamah secara fizikal kini hanya tertumpu pada kes jenayah dan perbicaraan penuh kes sivil sahaja.

"Pengguna tidak lagi terikat kepada lokasi atau waktu operasi mahkamah yang terhad kepada waktu pejabat, menjimatkan masa dan kos … mereka boleh mengakses sistem pada bila-bila masa tanpa perlu berada di premis mahkamah, khusus bagi urusan pemfailan kes serta dokumen.

"Sistem ini juga mengurangkan keperluan kehadiran fizikal ke mahkamah kerana pihak-pihak kini boleh menyertai prosiding secara jarak jauh. Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan masa malah membantu mengurangkan kesesakan yang lazimnya membebankan operasi mahkamah dan pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata pengurangan kehadiran peguam, pihak-pihak yang terlibat dan orang awam di mahkamah terbuka turut mewujudkan suasana perbicaraan yang lebih fokus dan berupaya beroperasi secara optimum.

Harmi Thamri berkata dengan pelaksanaan sistem e-Kehakiman, semakan dokumen, carian fail, carian minit mahkamah dan senarai kausa juga boleh dilakukan secara dalam talian bagi memudahkan urusan tanpa kehadiran fizikal.

“Pihak-pihak boleh menyelesaikan isu pra-perbicaraan secara dalam talian dengan lebih cepat, sekali gus mempercepatkan perjalanan kes. Semasa perbicaraan, mahkamah dan pihak terlibat merujuk salinan digital dokumen yang difailkan tanpa perlu menyemak dokumen fizikal," katanya.

Sebelum pelaksanaan sistem itu, Harmi Thamri berkata semua pihak yang ingin membuat pemfailan dokumen perlu hadir ke mahkamah dan mengemukakan dokumen yang ingin difailkan ke kaunter Pejabat Pendaftaran Mahkamah yang berkenaan.

"Pemfailan secara manual ini banyak kelemahan, antaranya kehilangan atau kerosakan salinan dokumen yang difailkan. Pemfailan dokumen pada saat akhir juga menyumbang kepada kegagalan dokumen tersebut disertakan dalam fail fizikal mahkamah, sekali gus mengganggu perjalanan prosiding mahkamah yang telah ditetapkan," katanya.

Menurut Harmi Thamri, pada 2016 Badan Kehakiman telah memulakan pembangunan sistem e-Kehakiman fasa dua untuk kes sivil dan jenayah yang pada asalnya diperluas untuk 20 lokasi mahkamah sahaja.

"Setelah pembangunan sistem fasa dua ini selesai, penggunaannya telah diperluas secara berperingkat ke semua lokasi mahkamah di Semenanjung Malaysia. Badan kehakiman kini dalam proses untuk membangunkan sistem e-Kehakiman fasa tiga yang memfokuskan kepada pembangunan modul baharu dan dijangka dilaksanakan pada pertengahan 2027," katanya.

Sementara itu, peguam Ahmad Shamil Azad berkata sistem e-Kehakiman memudahkan urusan peguam apabila terdapat pendengaran ringkas yang tidak memerlukan kehadiran mereka di mahkamah secara fizikal.

"Sebagai contoh, peguam dari negeri lain hanya menghadiri prosiding secara e-Review bagi kes di Kuala Lumpur tanpa perlu melakukan perjalanan jauh untuk menghadiri pendengaran singkat yang lazimnya mengambil masa 15 hingga 30 minit," kata bekas Majistret Sungai Siput itu.

Beliau berkata bagi kes jenayah, tiada perubahan besar terhadap prosiding pendengaran kerana kebanyakan prosiding masih dijalankan di mahkamah terbuka. 

"Bagaimanapun, sistem digital itu memudahkan peguam menyerahkan surat kepada mahkamah dan bahan bukti disimpan secara lebih selamat kerana dokumen diimbas dan dimuat naik terus ke dalam sistem,” katanya dan menambah risiko kehilangan dokumen atau surat tercicir kini jauh lebih rendah.

Peguam Putera Muhammad Nor Hashim pula berkata dengan pelaksanaan sistem itu, pihak yang terlibat tidak perlu berurusan dengan banyak borang secara fizikal kerana kebanyakannya akan dijana secara automatik sekiranya dimohon dalam sistem berkenaan.

"Penetapan tarikh, semakan status dan penyampaian notis kini lebih pantas tanpa perlu berinteraksi manual bersama pegawai mahkamah. Proses lebih cepat dan kurang penangguhan.

“Sekiranya ada penangguhan kes, pemakluman boleh dilakukan dengan lebih awal tanpa pihak-pihak perlu hadir ke mahkamah," katanya sambil menambah kos perjalanan, cetakan akan berkurangan kerana sistem itu lebih berpaksikan secara digital.

Berkongsi mengenai penggunaan sistem e-Kehakiman, wartawan sebuah portal berita, Faisal Asyraf Mohd Rofli berkata sistem itu memudahkan pengamal media membuat persiapan dan menyusun jadual liputan lebih awal tanpa perlu menyemak kes secara fizikal di mahkamah, lebih-lebih lagi jika kes melibatkan individu berprofil tinggi.

"Dengan adanya sistem sedemikian memberi ruang kepada media untuk membuat liputan selari dengan peranannya sebagai "third force" di dalam negara. Jika dahulu wartawan perlu 'check' kes di kaunter pendaftaran kes dan mahkamah satu persatu, kini semuanya di hujung jari," ujarnya.

Pembantu operasi sebuah syarikat, Mimi Khamiza Zainudin, 32, berkata sistem e-Kehakiman banyak membantu orang awam mengakses perkhidmatan kehakiman secara dalam talian tanpa perlu hadir ke mahkamah, seperti semakan status kes, muat turun dokumen tertentu dan permohonan atau pendaftaran kes (bergantung jenis kes).

“Sebagai contoh kes saman trafik, orang awam boleh semak saman, tarikh sebutan kes atau keputusan melalui sistem e-Kehakiman tanpa perlu beratur lama di kaunter. Ini mengurangkan kos pengangkutan dan masa menunggu serta proses menjadi lebih cepat dan efisien,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan