Oleh Noornasrin Salsabila Othman
KOTA BHARU, 22 Dis (Bernama) -- Tiga puluh minit mungkin terlalu singkat bagi kebanyakan remaja tetapi seorang pelajar tahfiz di sini, tempoh itu menjadi asas kepada perjalanan panjang menghafaz al-Quran sejak usia 13 tahun.
Hasil disiplin yang dibina secara konsisten selepas setiap solat itu, Ahmad Fikri Abdul Hisham, 16, pelajar Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor (MTM) berjaya menamatkan bacaan hafazan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh hanya 18 jam.
Ahmad Fikri berkata amalan itu mula dipraktikkan sejak beliau berada di tingkatan satu sebagai usaha memantapkan hafazan secara berperingkat dan teratur, walaupun hanya memperuntukkan kira-kira 30 minit pada setiap sesi.
“Saya cuba membahagikan masa secara konsisten selepas setiap solat. Walaupun singkat, ia dilakukan setiap hari. Saya tidak menyangka amalan ini membolehkan saya menamatkan bacaan hafazan dalam tempoh yang singkat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata kejayaan itu tidak akan tercapai tanpa sokongan berterusan daripada ibu bapanya Rohaizah Mat Naing, 49, dan Abdul Hisham Daud, 54, selain bimbingan guru-guru serta guru halaqah Muhammad Nazih Mohd Nasir, yang sentiasa meletakkan harapan tinggi terhadap pencapaiannya.
Ahmad Fikri berkata bacaan hafazan 30 juzuk itu telah diperdengarkan dan diuji oleh enam guru tahfiz MTM iaitu Nik Zainuddin Nik Mohamed, Haswadi Muhammad, Muhammad Yusof Hakimi Mohd Kanafiah, Mohamad Luqman Me, Muhamad Hisamuddin Ramli dan Zikril Hakim Zulkifli Amin pada Ahad lepas.
“Alhamdulillah, menerusi pembacaan syahadah selama 18 jam itu, saya memperoleh pangkat Mumtaz kerana bacaan diperdengarkan tanpa sebarang kesalahan.
“Saya berharap kejayaan ini dapat menjadi contoh dan pembakar semangat kepada rakan-rakan seperjuangan lain,” katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah.
Sementara itu, Pengetua MTM Najmuddin Abdullah berkata kejayaan Ahmad Fikri menamatkan bacaan hafazan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh 18 jam adalah pencapaian sulung dalam sejarah MTM sejak aliran Tahfiz diperkenalkan pada 2010.
Beliau berkata berdasarkan sukatan ditetapkan, setiap pelajar aliran Tahfiz perlu menghafaz sekurang-kurangnya tiga juzuk setahun bermula tingkatan satu dan dijangka menamatkan hafazan 15 juzuk apabila tamat tingkatan lima.
“Namun Ahmad Fikri berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh kurang lima tahun, sekali gus melepasi sukatan ditetapkan pihak sekolah.
“Saya berharap kejayaan ini menjadi titik permulaan untuk melahirkan lebih banyak huffaz pada masa akan datang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial