AM > BERITA

I-Berhad Percepat RAAS, Pelaburan RM1 Bilion Pacu Transformasi Bandar Pintar i-City

22/12/2025 04:37 PM

SHAH ALAM, 18 Dis (Bernama) -- I-Berhad giat mempercepat pelaksanaan Robotics-as-a-Service (RAAS) dengan pelaburan bernilai RM1 bilion, sekali gus menjadikan automasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) sebagai tonggak utama pengurusan hartanah, hospitaliti, gaya hidup dan operasi aset seawal tahun hadapan. 

Pengerusi I-Berhad Tan Sri Lim Kim Hong berkata inisiatif itu dijangka meletakkan syarikat berkenaan dan i-City pada barisan hadapan sebagai pelopor pembangunan bandar pintar di Malaysia melalui integrasi teknologi pintar secara menyeluruh menggunakan sistem pelaksanaan tugas serta peralatan canggih.

“RAAS meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos operasi dan menjana aliran pendapatan yang lebih mampan, di samping membolehkan i-City menempatkan robot perkhidmatan domestik ke kediaman pada kos yang sama dengan perkhidmatan pembantu rumah sedia ada.

“Ia juga menyokong strategi transformasi digital I-Berhad dengan memanfaatkan AI untuk membangunkan ekosistem bandar pintar yang inovatif dan berorientasikan masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran AI World Experience Centre, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah I-Berhad Datuk Eu Hong Chew, Pengarah Kanan Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia Wizani Rosmin, Pengarah Bahagian Penjagaan Kesihatan, Pendidikan dan Hospitaliti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Wahida Abdul Rahman serta Pengarah Bahagian Tarif MIDA Normawati Kusairi.

Tambah Lim, pelaburan bernilai RM1 bilion itu turut menunjukkan potensi pulangan berasaskan teknologi, sekali gus mampu menarik minat pelabur tempatan dan antarabangsa khususnya dalam sektor hartanah dan hospitaliti berteknologi tinggi untuk melabur di i-City.

Beliau berkata i-City akan dibangunkan sebagai bandar pintar yang digerakkan oleh automasi dan AI termasuk menggabungkan teknologi, gaya hidup dan pelbagai jenis perkhidmatan dalam satu platform bersepadu.

Sehubungan dengan itu, Lim berkata I-Berhad melancarkan AI World Experience Centre di i-City sebagai demonstrasi teknologi RAAS yang membolehkan pengunjung melihat robot manusia dan sistem automasi AI beroperasi dalam persekitaran sebenar.

“Pusat ini mempamerkan peranan penting AI dalam mencorakkan kehidupan seharian merangkumi aspek pembelajaran, pengurusan kesihatan serta transformasi gaya hidup masyarakat dan bekerja dalam persekitaran pintar.

“Memandangkan teknologi AI kini menjadi sebahagian daripada rutin harian dan tidak lagi terhad kepada penggunaan di makmal atau peranti digital semata-mata, tumpuan strategik kini beralih kepada impaknya terhadap pengalaman serta kualiti hidup secara menyeluruh,” katanya.

Lim berkata pendekatan itu menjadi asas kepada fasa pembangunan i-City menerusi AI World Development yang mengintegrasikan elemen pendidikan, kesejahteraan dan kelestarian hidup dalam ekosistem bandar pintar berasaskan AI.

Beliau berkata pelaksanaan RAAS menandakan satu langkah penting dalam usaha menjadikan i-City sebagai bandar pintar berasaskan teknologi, sekali gus meningkatkan fungsi, kecekapan dan pengalaman gaya hidup bandar.

“Inisiatif RAAS turut menjadi asas kepada pelancaran rasmi AI World Experience Centre pada 13 Jan depan yang dijangka memperkukuh kedudukan i-City sebagai hab inovasi digital dan bandar pintar terkemuka di Malaysia.

“Langkah ini menegaskan komitmen I-Berhad untuk memacu transformasi bandar pintar di Malaysia melalui teknologi pintar, automasi berasaskan AI dan integrasi RAAS dalam semua aspek pembangunan hartanah dan gaya hidup,” katanya.

AI World Experience Centre kini dibuka kepada orang ramai dalam mod pratonton dengan fasa seterusnya akan dilengkapi pelbagai jenis pameran serta program yang lebih luas bagi tujuan pendidikan, inovasi dan pendedahan teknologi masa hadapan.

Pusat itu menampilkan lebih 100 robot  manusia yang dibangunkan oleh sebuah syarikat robotik terkemuka dunia, iaitu AGIBOT bagi memberikan pengalaman interaktif yang realistik dan futuristik kepada pengunjung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan