AM > BERITA

Pembangunan Gentian Optik Berkeupayaan Tinggi Perkukuh Ekonomi Digital Selangor

22/12/2025 08:33 PM

Oleh Farhana Abd Kadir

SHAH ALAM, 22 Dis (Bernama) -- Pembangunan rangkaian gentian optik berkeupayaan tinggi di Selangor dilihat sebagai langkah strategik jangka panjang yang berupaya meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat serta memperkukuh daya saing negeri dalam ekonomi digital, seiring pengiktirafan capaian Internet sebagai utiliti keempat dalam landskap pembangunan moden.

Pengarah Bersama Future Cities Research Institute (FCRI) Sunway University dan Lancaster University, Prof Ir Rosdiadee Nordin berkata gentian optik berkapasiti tinggi menawarkan capaian Internet yang lebih pantas dan stabil pada skala besar, sekali gus menjadi asas penting kepada transformasi ekonomi digital negeri.

Beliau berkata pembangunan infrastruktur itu memberikan manfaat besar khususnya kepada penduduk serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di kawasan pinggir dan luar bandar.

“Akses Internet berkualiti tinggi membolehkan komuniti dan pemain industri mengguna pakai automasi berasaskan pengkomputeran awan serta pelbagai aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang kini semakin sebati dalam kehidupan seharian dan operasi perniagaan.

“Walaupun pelaburan awal bagi pembangunan gentian optik memerlukan kos yang tinggi, manfaat jangka panjangnya jauh lebih besar kepada pertumbuhan ekonomi, peningkatan produktiviti serta daya saing negeri,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau mengulas langkah strategik kerajaan Selangor memperkukuh asas infrastruktur digital negeri menerusi pelaksanaan Projek Fiberisasi-Cyberjaya, yang disifatkan sebagai keperluan asas setara dengan jalan raya, bekalan air dan elektrik.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari ketika melancarkan inisiatif itu pada Khamis lepas berkata projek gentian optik bawah tanah berkapasiti tinggi sepanjang 41.1 kilometer (km) di Cyberjaya itu diterajui oleh SmartSel Sdn Bhd (SmartSel), syarikat infrastruktur digital milik kerajaan negeri, dengan kerjasama OCK Group Berhad (OCK) sebagai pelaksana pembangunan.

Menurut Amirudin, projek berkenaan merupakan fasa awal pembentukan Selangor Dark Fiber Network iaitu rangkaian gentian optik milik negeri sepanjang 889 km yang bersifat terbuka, neutral dan berkelajuan tinggi.

Mengulas lanjut, Rosdiadee berkata pemilikan rangkaian gentian optik oleh kerajaan negeri berupaya merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar, selain memastikan pembangunan yang lebih inklusif.

Menurutnya, pendekatan rangkaian terbuka bukan sahaja meningkatkan persaingan dan menurunkan harga kepada pengguna malah meluaskan liputan Internet, menyokong pertumbuhan ekonomi digital serta membentuk modal insan berkemahiran tinggi dalam jangka panjang.

“Model ini telah berjaya dilaksanakan di beberapa bandar maju seperti Stockholm menerusi inisiatif Stokab di Sweden, serta Chattanooga dan Utah di Amerika Syarikat.

“Pendekatan sedemikian membantu mengelakkan manipulasi harga oleh pasaran dan memastikan pembangunan infrastruktur digital berteraskan kesejahteraan rakyat, bukan semata-mata keuntungan komersial," katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi University College i-CATS Kuching Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata pelaburan dalam infrastruktur gentian optik mampu meningkatkan daya tarikan Selangor sebagai hab pelaburan ekonomi digital.

Beliau berkata pembangunan ekonomi digital juga berpotensi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos transaksi perniagaan justeru mengukuhkan daya saing negeri di peringkat nasional dan global.

“Secara keseluruhan, peralihan strategik ke arah pembangunan infrastruktur digital menjadikan Selangor bukan sahaja maju dari segi fizikal, malah sebuah negeri pintar yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 pada 14 Nov lepas dilaporkan berkata kerajaan negeri akan membangunkan pelan induk Selangor Dark Fiber Network melalui anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan SmartSel untuk meneroka hasil pendapatan baharu. 

Menurutnya, pembangunan jaringan fiberisasi sepanjang 889 km dengan jangkaan kos RM267 juta itu dijangka membolehkan Selangor memiliki rangkaian gentian optik berkelajuan tinggi serta berpotensi menjana pulangan sebanyak RM196 juta dalam tempoh lima tahun, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri sebagai peneraju ekonomi digital negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan