AM > BERITA

Tun Musa Seru Rakyat Perkukuh Perpaduan Jamin Kesinambungan Kemajuan Sabah

23/12/2025 02:40 PM

KOTA KINABALU, 23 Dis (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman menyeru seluruh rakyat untuk menjaga hubungan baik antara kaum dan agama bagi menjamin kesinambungan perpaduan di negeri ini.

Beliau berkata keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama yang hidup aman serta saling bergantung antara satu sama lain sebagai kekuatan utama Sabah yang perlu dipertahankan.

"Negeri dan negara kita pastinya menjadi makmur apabila rakyat mengekalkan toleransi dan saling menghormati," katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Krismas 2025 dan Tahun Baharu 2026.

Musa berkata sambutan Krismas tahun ini bukan sekadar perayaan, tetapi membawa mesej kasih, kedamaian dan harapan yang penting dalam membina masyarakat bersatu hati.

Beliau berkata perayaan ini merupakan wadah terbaik untuk memperkukuh perpaduan, menyemai nilai kasih sayang serta memperteguh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Menyentuh mengenai cabaran sepanjang 2025, beliau berkata Sabah telah melalui pelbagai perubahan termasuk ketidaktentuan ekonomi global, perubahan iklim serta keperluan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi.

"Namun, dalam menghadapi cabaran ini, rakyat Sabah sekali lagi membuktikan kekuatan dan daya tahan mereka," katanya, sambil menambah bahawa pembangunan ekonomi yang menyeluruh terus menjadi teras penting kerajaan negeri.

Beliau berkata pelbagai inisiatif inklusif sedang dilaksanakan bagi memastikan pembangunan dapat dinikmati secara seimbang oleh rakyat di bandar dan luar bandar, sejajar dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.

Menjelang 2026, Musa menyeru rakyat memupuk semangat dan iltizam baharu untuk bergerak lebih maju serta memandang ke hadapan dengan keyakinan bagi mendepani dunia yang berubah pantas.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh anggota perkhidmatan awam, pasukan keselamatan serta pemimpin masyarakat atas komitmen dan kerjasama mereka dalam memajukan negeri Sabah.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan