EKONOMI > BERITA

PKNS FMI TERBIT LAPORAN KEMAMPANAN, ESG PERTAMA PAPAR PRESTASI DAN INISIATIF 

23/12/2025 11:30 PM

Oleh Nadia Jumri

SHAH ALAM, 23 Dis (Bernama) -- PKNS FM Integrated Sdn Bhd (PKNS FMI) menerbitkan Laporan Kemampanan serta Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) pertama yang memaparkan prestasi serta inisiatif berkaitan kemampanan syarikat bagi tempoh 1 Jan, 2024 hingga 30 Mei, 2025.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Shamshul Bahari Ahmad berkata berkata laporan itu menyenaraikan topik penting ESG yang dikenal pasti sebagai amat relevan kepada pihak berkepentingan PKNS FMI, termasuk impak ekonomi, alam sekitar serta pengurusan sumber.

“Ini turut merangkumi kebajikan pekerja, keselamatan dan penglibatan komuniti selain aspek tadbir urus korporat, etika dan pematuhan,” katanya pada majlis pelancaran Laporan Kemampanan PKNS FMI 2025 di sini, baru-baru ini.

PKNS FMI merupakan syarikat pengurusan fasiliti diperbadankan pada awal 2023 sebagai anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan menyokong agenda pembangunan mampan negeri dengan menyediakan perkhidmatan pengurusan fasiliti yang menyeluruh dan bersepadu.

Shamshul Bahari berkata tempoh pelaporan yang dilanjutkan itu diguna pakai bagi memberi gambaran lebih menyeluruh prestasi kemampanan syarikat di peringkat awal berikutan ketersediaan data lampau yang terhad.

“Bagi kemajuan masa depan, PKNS FMI merancang untuk melaksanakan kitaran pelaporan tahunan dengan laporan kemampanan seterusnya dijangka dari 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2026 atau selaras dengan struktur pelaporan dalaman masa depan,” katanya.

Beliau juga menyifatkan laporan itu sebagai lebih daripada sekadar satu pencapaian, sebaliknya memaparkan nilai-nilai PKNS FMI serta aspirasi dan tanggung jawab sebuah syarikat yang diberi amanah menguruskan aset-aset kritikal yang memberi khidmat kepada rakyat setiap hari.

Pada masa sama, beliau berkata hala tuju syarikat juga dibentuk oleh visi Kerajaan Negeri Selangor menerusi Rancangan Selangor Pertama 2021-2025 (RS-1) dan Rancangan Selangor Kedua 2026-2030 (RS-2) akan datang.

“Kami turut berpandukan rangka kerja peringkat nasional dan global seperti Panduan Pelaporan Kemampanan Bursa Malaysia, Piawaian Global Reporting Initiative (GRI) serta Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.

Selain itu ketika ditemui Bernama selepas pelancaran laporan itu, beliau berkata PKNS FMI berhasrat untuk mengembangkan lagi peranan sebagai penyedia pengurusan fasiliti utama bagi aset berkaitan kerajaan susulan pelantikan untuk mengurus lima lagi bangunan milik PKNS mulai 1 Jan, 2026.

“Portfolio yang dipertingkatkan itu termasuk Kompleks PKNS Shah Alam, Menara PKNS Petaling Jaya, Kompleks PKNS Bangi, Wisma Yakin dan Pusat Beli-Belah Shah Alam City Centre (SACC). PKNS FMI juga di landasan untuk memperkenalkan inisiatif ekonomi kitaran bagi pembangunan guna campur (gabungan pelbagai fungsi kemudahan) Shah Alam Sentral,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mahmud Abbas berkata PKNS menaruh harapan tinggi terhadap keupayaan PKNS FMI memainkan peranan bermakna dalam meningkatkan lagi kualiti serta persekitaran bandar.

“Banyak bangunan di bawah PKNS sebelum ini tidak diselenggara mengikut tahap sewajarnya bagi aset di kawasan bandar. Keadaan mula bertambah baik apabila tumpuan lebih kukuh diberikan kepada penyelenggaraan dan pengurusan fasiliti yang teratur.

“Peranan PKNS FMI bukan hanya sebagai pemilik bangunan, sebaliknya sebuah syarikat pengurusan fasiliti dan aset yang profesional. Aspirasi kami adalah agar PKNS FMI dapat memastikan bangunan serta aset ini diselenggara mengikut tahap piawaian yang memenuhi jangkaan para pelanggan,” katanya.

Beliau berkata PKNS juga berharap PKNS FMI tidak hanya menjana perniagaan, tetapi turut berupaya untuk meningkatkan keseluruhan tahap pengurusan aset.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan