AM > BERITA

Pulau Pinang Naikkan Rebat Cukai Tanah 50 Peratus Bagi 2026 - Chow

23/12/2025 02:08 PM

GEORGE TOWN, 23 Dis (Bernama) -- Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang bersetuju meningkatkan rebat cukai tanah bagi 2026 daripada 32.5 peratus sebelum ini, kepada 50 peratus bagi meringankan beban pemilik tanah dan memastikan peralihan kepada kadar baharu cukai tanah dilaksanakan secara berperingkat serta terkawal.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pemberian rebat cukai tanah itu tertakluk kepada kadar minimum yang ditetapkan, dan kadar baharu cukai tanah akan kekal sekurang-kurangnya 10 tahun seperti diperuntukkan dalam Kanun Tanah Negara (Akta 828).

“Dalam hal ini, sekiranya amaun cukai tanah selepas rebat diberikan lebih rendah daripada amaun cukai tanah sedia ada yang telah dibayar pada tahun sebelumnya, maka amaun cukai tanah sedia ada akan diguna pakai. 

“Pendekatan ini bertujuan memastikan keseimbangan antara kepentingan pemilik tanah dan keperluan hasil negeri,” katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Menteri di Komtar di sini hari ini.

Selain pemberian rebat, Chow berkata permohonan rayuan pengurangan cukai tanah, tunggakan cukai tanah, tunggakan cukai tanah serta tunggakan denda lewat boleh dipertimbangkan melalui mekanisme rayuan di pejabat tanah bagi kes-kes tertentu.

Beliau berkata pertimbangan rayuan turut merangkumi pemilik tanah First Grade yang terkesan akibat perubahan kadar berdasarkan kegunaan semasa serta pemilik tanah terlibat dalam proses pengkelasan tanah daripada desa ke bandar. 

Menurut Chow, semua permohonan dan keputusan rayuan tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan selain mekanisme rayuan itu disediakan sebagai saluran kepada pemilik tanah yang terkesan secara signifikan akibat pelaksanaan kadar baharu cukai tanah.

Chow berkata bil cukai tanah akan diposkan kepada semua pemilik tanah pada pertengahan Januari depan, namun mereka boleh membuat semakan dan bayaran bil cukai secara dalam talian bermula 2 Jan.

Sebelum ini, kerajaan negeri juga bersetuju memberi pengecualian bayaran denda ke atas tunggakan cukai tanah dan cukai petak sebanyak 100 peratus mulai 1 Jan hingga 31 Dis 2026 melibatkan tunggakan denda berjumlah RM25 juta. 

Pada 19 Sept lepas, kerajaan negeri telah melaksanakan semakan kadar cukai tanah dan pengkelasan tanah desa ke bandar bagi seluruh Pulau Pinang selaras dengan peruntukan Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Jan ini.

Pelaksanaan semakan kadar cukai tanah tersebut melibatkan hampir 370,000 hak milik tanah di seluruh Pulau Pinang, merangkumi pelbagai kategori dan kegunaan tanah termasuk kategori kediaman, perniagaan, perindustrian, pertanian serta kategori-kategori khas lain.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan