AM > BERITA

Yayasan Peneraju Tawar Rebat Yuran Keahlian MIA Sempena Ulang Tahun Ke-14

13/02/2026 07:54 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Yayasan Peneraju (YP) memperkenalkan rebat yuran keahlian Institut Akauntan Malaysia (MIA) sempena ulang tahunnya ke-14 bagi membantu profesional perakaunan membayar yuran keahlian tahunan.

Dalam kenyataan hari ini, YP memaklumkan rebat itu ditawarkan kepada bakat dan alumni layak yang masih mempunyai bayaran balik tertunggak, dengan pemohon berjaya menerima sehingga RM850 bagi keahlian 2026 yang akan ditolak daripada baki tertunggak mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif YP Ibrahim Sani berkata MIA ialah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Akauntan 1967 untuk mengawal selia dan membangunkan profesion perakaunan di Malaysia serta menganugerahkan tauliah Akauntan Berkanun (CA) (Malaysia).

“Menerusi rebat yuran yang diperkenalkan tahun ini, kami menggalakkan bakat dan alumni YP dalam profesion ini untuk mengambil langkah seterusnya ke arah mencapai CA (Malaysia) dan mengukuhkan kedudukan profesional masing-masing.

“Inisiatif ini diwujudkan bagi menangani halangan praktikal pada fasa penting dalam pembangunan kerjaya seorang akauntan sekali gus membolehkan bakat perakaunan Bumiputera melangkah ke peringkat seterusnya dengan lebih yakin serta terus kekal relevan dan bernilai kepada majikan,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu turut memupuk amalan pembayaran balik yang bertanggungjawab sekali gus membolehkan dana digunakan semula untuk menyediakan pembiayaan baharu dan membuka peluang kepada generasi bakat Bumiputera seterusnya.

Untuk melayakkan diri, pemohon perlu memenuhi syarat kelayakan MIA serta kriteria rebat YP dengan membuat bayaran balik minimum 30 peratus daripada baki tertunggak atau bayaran awal RM2,000.

YP memaklumkan rebat itu terhad kepada satu permohonan bagi setiap pemohon.

Bakat dan alumni yang ingin memohon rebat yuran keahlian MIA boleh menghantar e-mel ke recovery@yayasanpeneraju.com.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan