AM > BERITA

Pemakanan Seimbang Sokong Kecemerlangan Murid, PROMAK Perkukuh Ekosistem Pendidikan

24/12/2025 02:23 PM

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Kecemerlangan murid tidak terbina dalam sekelip mata. Ia lahir daripada gabungan persekitaran pembelajaran yang kondusif, sokongan guru dan komuniti serta kesejahteraan fizikal dan emosi yang terjaga.

Dalam konteks ini, pemakanan seimbang memainkan peranan penting sebagai asas kepada perkembangan kanak-kanak, khususnya dalam kalangan murid sekolah rendah. Di banyak negara maju seperti Jepun, penyediaan makanan tengah hari di sekolah telah lama menjadi sebahagian daripada ekosistem pendidikan bagi menyokong tumbesaran dan keupayaan pembelajaran murid.

Di Malaysia, Program Makanan Kesihatan (PROMAK) yang ditaja oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sejak 2022 hadir sebagai salah satu inisiatif kebajikan yang mengiringi perjalanan pendidikan murid.

Program ini menyediakan makan tengah hari percuma yang seimbang kepada murid sekolah rendah di 97 sekolah terpilih di Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang. PROMAK menawarkan pelbagai menu pilihan yang dirancang khas oleh Kementerian Kesihatan mengikut keperluan pemakanan murid yang sedang membesar. Program itu memberi manfaat kepada lebih 20,000 murid sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan.

Walaupun kejayaan murid lahir daripada pelbagai faktor, kehadiran PROMAK dilihat sebagai sokongan berterusan yang membantu memastikan murid kekal sihat, cergas dan bersedia untuk menyertai aktiviti pembelajaran serta kokurikulum.

 

SK Beting Lintang Catat Kejayaan Hingga Ke Peringkat Antarabangsa

 

Di Terengganu, Sekolah Kebangsaan (SK) Beting Lintang antara sekolah yang menunjukkan pencapaian membanggakan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam pelbagai bidang akademik, inovasi dan kebudayaan.

Guru Besarnya Engku Rohani Engku Ismail berkata kesejahteraan murid menjadi antara keutamaan sekolah dalam menyokong perkembangan potensi mereka.

Menurut beliau, melalui PROMAK murid-murid sekolah itu menikmati hidangan tengah hari yang berkhasiat secara konsisten, sekali gus membantu mereka kekal fokus sepanjang sesi pembelajaran dan aktiviti luar bilik darjah.

“Murid Tahun 5 kami, Wan Nur Alya Wan Zulkurnain bersama lima murid lain berjaya membawa nama sekolah ke peringkat antarabangsa apabila memenangi Anugerah Emas Penyampai Terbaik dalam Webinar Pertukaran Inisiatif Sekolah Eko Global 2025.

“Murid Tahun 6 pula telah membentangkan Projek Eco Schools SK Beting Lintang di Sekolah Swasta Islam Chou Sepenya, Thailand, selain sembilan murid kami meraih tujuh anugerah dalam Kangaroo Math Competition,” katanya.

Tambahnya, tiga murid Tahun 6 turut memenangi Anugerah Perak dalam Pertandingan Inovasi STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) peringkat kebangsaan, manakala pasukan dikir barat sekolah, Alunan Suara Muda Sebintang, dinobatkan sebagai juara Pertandingan Dikir Barat sempena Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Menurut Engku Rohani, walaupun kejayaan tersebut adalah hasil usaha gigih murid dan sokongan guru serta komuniti, inisiatif seperti PROMAK membantu mewujudkan persekitaran yang lebih menyokong perkembangan murid secara menyeluruh.

“Apabila kebajikan asas murid terjaga, mereka lebih yakin, bermotivasi dan bersedia menyertai pelbagai aktiviti pembelajaran dan kokurikulum,” ujarnya.

 

SK Bonggol Petai Harumkan Nama Negara Dalam Robotik

 

Di Kelantan, SK Bonggol Petai turut mencipta kejayaan apabila pasukan robotiknya meraih tempat ketiga dalam Kejuaraan Robotik Antarabangsa (WRC) 2025 yang disertai lebih 500 sekolah, berlangsung di Universiti Multimedia Malaysia (MMU).

Guru pengiring Syafiq Mohamad berkata pencapaian tersebut adalah hasil latihan konsisten, disiplin tinggi dan kerjasama berpasukan dalam kalangan murid.

Menurutnya, murid dibahagikan kepada peranan tertentu seperti pembina robot, pengatur cara dan penyusun strategi, sekali gus melatih kemahiran komunikasi dan penyelesaian masalah.

“Di sekolah kami, PROMAK membantu memastikan murid memperoleh makanan berkhasiat setiap hari. Apabila keperluan asas ini terjaga, murid lebih bertenaga dan mampu menumpukan perhatian dengan lebih baik, terutamanya semasa latihan intensif,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kesejahteraan fizikal yang konsisten memberi kesan positif kepada penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum, termasuk robotik yang memerlukan fokus dan ketahanan mental.

 

SK Kuala Perlis Menyerlah Dalam Inovasi STEM

 

Sementara itu di Perlis, SK Kuala Perlis mencuri tumpuan melalui penganjuran Karnival Digital Young STEMist Expo (YSE), sebuah platform pendedahan awal murid kepada bidang STEM merangkumi robotik, realiti maya (VR), simulasi sains dan bengkel inovasi.

Guru Penolong Kanan Kokurikulum Hafiza Abd Hamid berkata penglibatan murid dalam aktiviti STEM menuntut komitmen masa yang panjang, termasuk berada di sekolah selepas waktu persekolahan.

“Dalam situasi ini, sokongan seperti PROMAK amat membantu. Murid yang terlibat tidak perlu menahan lapar atau keletihan, sebaliknya dapat mengekalkan fokus dan tenaga semasa menjalani aktiviti inovasi,” katanya.

Beliau berkata sejak pelaksanaan awal program STEM, dua pasukan inovasi SK Kuala Perlis telah memenangi pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan menerusi inovasi FAR Broom Controller, termasuk Anugerah Emas dan tersenarai dalam 10 terbaik.

Menurutnya, pemakanan yang seimbang bukan sahaja menyokong kesihatan fizikal murid, malah membantu keupayaan berfikir secara kreatif dan kritis, selaras dengan keperluan pembelajaran STEM.

 

PROMAK Sebagai Sokongan Berterusan

 

Sebagai program kebajikan pendidikan, PROMAK tidak mendakwa menjadi penyebab kejayaan murid, sebaliknya hadir sebagai sokongan berterusan dalam perjalanan mereka. Menerusi penyediaan makan tengah hari yang seimbang dan konsisten, inisiatif tajaan BERNAS ini membantu memastikan murid sekolah rendah mendapat asas kesejahteraan yang diperlukan untuk berkembang, belajar dan mencuba peluang baharu.

Dalam diam, PROMAK mengiringi langkah-langkah kecil murid menuju kejayaan mereka sendiri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan