LABUAN, 24 Dis (Bernama) -- Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Labuan melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang dipercayai hilang selepas terjatuh ke laut di Tanjung Kubung di sini pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Labuan Kepten Izwanhadi Idros berkata mangsa, Rosli Awit, 49, dipercayai terjatuh dari bot dinaikinya dalam insiden yang berlaku di kedudukan 7.8 batu nautika utara Tanjung Kubung pada 8.43 pagi.
“Kru bot nelayan tersebut telah melakukan pencarian awal sebaik menyedari Rosli hilang tetapi usaha mengesan mangsa gagal,” katanya dalam satu kenyataan.
Izwanhadi berkata susulan laporan yang diterima, APMM telah menggerakkan asetnya membabitkan Kapal Maritim (KM) Lahad Datu dan bot Penggalang 24 ke lokasi kejadian pada 12.40 tengah hari, dengan dibantu aset Pasukan Polis Marin iaitu PSC 1 bagi mempergiatkan operasi pencarian.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu diminta untuk menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di 087-427999 atau di talian kecemasan 999 bagi membantu usaha mengesan mangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial