KEPALA BATAS, 25 Dis (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang menjalankan pemeriksaan bersepadu ke atas 229 premis industri menerusi Operasi Gempur dan Lembangan sejak Januari hingga 15 Dis lepas.
Pengarah JAS Pulau Pinang Badlishah Ahmad berkata sebanyak 215 arahan di lapangan dan 70 Notis Arahan dikeluarkan sepanjang operasi yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan itu seperti Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Imigresen Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Majlis Bandaraya Seberang Perai dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang.
“Operasi itu dijalankan ke atas premis-premis di Pulau Pinang, khususnya dalam kawasan industri dan premis buangan terjadual dengan 12 Operasi Gempur dan Lembangan dijalankan melibatkan tujuh pasukan dengan kekuatan 20 anggota penguat kuasa JAS negeri.
“Operasi itu memberi tumpuan terhadap premis-premis yang terletak di hulu takat pengambilan air yang berada di dalam kawasan lembangan sungai utama seperti Sungai Juru dan Sungai Jawi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata selain itu, satu tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan dan 44 kertas siasatan tawaran kompaun telah dibuka ke atas premis melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (PPKAS) (Efluen Perindustrian) 2009, PPKAS (Kumbahan) 2009, PPKAS (Udara Bersih) 2014 dan PPKAS (Buangan Terjadual) 2005.
Sementara itu, Badlishah berkata pihaknya turut menjalankan Operasi Hazard dan Lusuh, iaitu tindakan penguatkuasaan terhadap premis yang menjalankan aktiviti memproses e-sisa tanpa lesen atau kebenaran daripada JAS Pulau Pinang.
“Sebanyak 11 Operasi Hazard dan Lusuh berjaya dilaksanakan dengan 23 premis industri diperiksa.
“Sebanyak lapan kertas siasatan berjaya dibuka dengan empat kes selesai dibawa ke mahkamah dengan jumlah denda RM180,000 manakala empat kes lagi masih dalam tindakan mahkamah,” katanya.
Beliau berkata operasi bersepadu itu adalah tindakan penguatkuasaan yang dijalankan oleh JAS Pulau Pinang untuk meningkatkan pematuhan oleh pihak industri supaya sentiasa mematuhi keperluan perundangan dan memastikan kepentingan alam sekitar terpelihara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial