AM > BERITA

Sambutan Krismas Eratkan Perpaduan Kaum, Pelancong Turut Teruja

25/12/2025 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Sambutan Hari Krismas bukan sahaja diraikan bersama keluarga, tetapi juga menjadi simbol perpaduan kaum yang erat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Doktor perubatan Christinna Vanathyar, 39, berkata dia amat bersyukur kerana dapat berkumpul bersama keluarga dan saudara-mara bagi meraikan kelahiran Jesus Christ yang disifatkannya sebagai hari penuh kegembiraan dan sangat bermakna.

“Perasaan kami memang sangat gembira kerana dapat bersama-sama keluarga dan saudara semua untuk meraikan kelahiran Jesus Christ. Hari ini memang sangat bermakna untuk semua yang menyambut Krismas,” katanya ketika ditemui Bernama.

Menurut Christinna, sambutan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk menghias pokok Krismas, menyediakan kuih-muih, serta menyajikan hidangan makanan tempatan kepada ahli keluarga dan tetamu yang berkunjung ke kediamannya.

Sementara itu, pekerja bebas (freelancer) James Vanathaiya Anthony, 62, berkata Krismas tahun ini diraikan dengan penuh keceriaan yang turut dimeriahkan oleh rakyat berbilang kaum.

“Kita bukan menyambut satu perayaan sahaja. Kita menyambut semua perayaan bersama-sama. Hari ini juga kita dapat lihat pelbagai kaum hadir memeriahkan sambutan Krismas,” katanya.

Sementara itu, sambutan Hari Krimas di Malaysia bukan saja diraikan rakyat tempatan, malah turut memberi peluang kepada pelancong menikmati kemeriahan perayaan di negara ini, sekali gus  mencerminkan keunikan kepelbagaian budaya Malaysia yang menyambut mesra penduduk tempatan dan pelancong.

Pelancong dari Ireland Julia Power, 65, yang menyambut Krismas di Malaysia buat kali pertama, menggambarkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang luar biasa tetapi penuh makna berbanding sambutan di negara asal.

“Ini merupakan kali pertama saya meraikan Krismas di Malaysia kerana anak saya bekerja di sini. Ini juga merupakan sambutan Krismas pertamanya sebagai pasangan suami isteri bersama bayi mereka, jadi saya buat keputusan meraikannya di sini,” katanya.

Power berkata dia seronok menghadiri upacara keagamaan (Misa) Krismas di Malaysia, dan kagum dengan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, dan masih mengekalkan nilai kekitaan dan semangat kebersamaan yang tinggi.

Pembantu rumah, Lourads Malver, 63, dari Filipina, yang telah bekerja di Malaysia selama 15 tahun berkata Krismas di sini menjadi tradisi yang amat dihargai.

“Saya gembira dapat menyambut Krismas di sini. Malaysia kini terasa seperti rumah sendiri,” kata Lourads, yang menghadiri Misa Krismas bersama rakannya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan