POLITIK > BERITA

MOHD SHUKRI UMUM LETAK JAWATAN SEBAGAI MENTERI BESAR PERLIS

25/12/2025 08:22 PM

KANGAR, 25 Dis (Bernama) -- Mohd Shukri Ramli hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan.

Pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, Mohd Shukri berkata beliau telah mempersembahkan surat peletakan jawatan itu kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, tengah hari tadi.

Sehubungan itu, beliau berkata peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa sehingga diperkenan Tuanku Syed Sirajuddin.

“Saya dengan ini menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk mempertimbangkan hasrat saya ini,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu turut merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh warga pentadbiran kerajaan negeri dan rakyat negeri itu yang telah memberikan kerjasama baik sepanjang pentadbirannya sebagai Menteri Besar.

Mohd Shukri juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Raja Perlis, Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid serta Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, kerana memberi peluang kepadanya menjadi Menteri Besar dan mentadbir kerajaan negeri dalam tempoh tiga tahun ini.

Selain itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pucuk kepimpinan parti serta seluruh ahli parti yang telah memberi kepercayaan kepadanya untuk menjalankan tugas sebagai Meneri Besar Perlis.

“Di kesempatan ini, saya ingin memohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan dan kekurangan di pihak saya, sepanjang saya menggalas amanah yang berat ini,” katanya.

Pada 22 Dis lepas, media melaporkan Mohd Shukri menerima rawatan di sebuah hospital di ibu negara selepas mengalami sakit dada sebaik kembali daripada urusan luar negara.

Pejabat Menteri Besar Perlis dalam kenyataan memaklumkan beliau dikejarkan ke hospital itu untuk pemeriksaan lanjut selepas mengadu sakit dada.

Dalam pada itu, media juga melaporkan ADUN Perikatan Nasional (PN) di Perlis didakwa telah bertemu Raja Perlis, bagi menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Mohd Shukri.

Berikutan itu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan media malam tadi memaklumkan keahlian ADUN Chuping Saad Seman, ADUN Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim, terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Rus'sele Eizan pula hari ini mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji selepas keahlian tiga ADUN kawasan itu dari PAS terhenti serta-merta.

Rus’sele bekata kekosongan luar jangka tersebut adalah selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bagi ketiga-tiga DUN itu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), daripada keseluruhan 15 kerusi DUN di negeri itu, PN memenangi 14 kerusi dengan sembilan daripadanya disumbangkan PAS, lima Bersatu manakala satu kerusi iaitu Indera Kayangan dimenangi PKR.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan