AM > BERITA

TPM Ahmad Zahid Puji Kejayaan Tiga Pelajar Orang Asli Rangkul Emas Di IRO 2025

25/12/2025 08:56 PM

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada tiga pelajar Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tereh, Kluang, Johor yang berjaya meraih pingat emas di Olimpiad Robot Antarabangsa ke-27 (IRO 2025) di Gold Coast, Australia, baru-baru ini.

Beliau berkata kemenangan murid berkenaan dalam Kategori Idea Kreatif (Tingkatan Rendah) menerusi ciptaan robot ‘rover’ bukan sahaja membanggakan, malah membuktikan bahawa anak-anak Malaysia, termasuk dari desa memiliki bakat dan potensi besar untuk bersaing pada peringkat global. 

“Tahniah saya ucapkan kepada tiga pelajar Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tereh, Kluang, Johor atas kejayaan luar biasa mereka merangkul pingat emas di IRO 2025, baru baru ini.

“Ia satu pencapaian yang membanggakan dan wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda untuk terus melakar lebih banyak kecemerlangan pada masa hadapan. Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran X hari ini.

Menurut laporan berita tempatan, Malaysia menghantar 15 pelajar Orang Asli daripada lima sekolah rendah untuk mewakili negara dalam IRO 2025.

Dalam pertandingan berprestij itu, ciptaan robot ‘rover’ yang direka khusus untuk mengkaji permukaan planet Marikh oleh tiga pelajar berkenaan merangkul tempat pertama bagi Kategori Idea Kreatif, sekali gus menewaskan peserta daripada 15 negara lain.

Selain pingat emas, pasukan Malaysia turut membawa pulang satu pingat gangsa bagi Kategori Kreatif Teknikal Junior.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan