KUALA TERENGGANU, 25 Dis (Bernama) -- Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) mengumumkan keputusan untuk merehatkan ketua jurulatih skuad Penyu Badrul Afzan Razali susulan prestasi kurang memberangsangkan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Perkembangan itu dimaklumkan melalui kenyataan media dalam laman Facebook rasmi selepas menilai semua aspek prestasi dan perkembangan pasukan Terengganu FC (TFC) pada Piala FA dan Liga Super setakat ini.
Menurut kenyataan itu, penolong ketua jurulatih Tengku Hazman Raja Hassan dilantik sebagai ketua jurulatih interim TFC sehingga pengganti Badrul Afzan diumumkan kelak.
"TFCSB ingin memaklumkan bahawa Jawatankuasa Teknikal serta Ahli Lembaga Pengarah TFCSB telah memutuskan untuk merehatkan ketua jurulatih Badrul Afzan Razali berkuat kuasa serta-merta.
"Sehubungan dengan itu, pihak kelab mengumumkan bahawa Tengku Hazman Raja Hassan selaku penolong ketua jurulatih dilantik sebagai ketua jurulatih interim sehingga pengumuman ketua jurulatih baharu secara rasmi," menurut kenyataan itu.
TFCSB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Badrul Afzan atas segala komitmen, sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang membimbing pasukan TFC.
Pengendali berusia 49 tahun yang berasal dari Kemaman, Terengganu itu dilantik sebagai ketua jurulatih pada 15 Jun 2025 bagi tempoh setahun, iaitu hingga Mei 2026.
Beliau sebelum itu dilantik sebagai pemangku ketua jurulatih pada 1 Okt 2024 selepas Tomislav Steinbruckner melepaskan jawatan berikutan prestasi hambar dan tekanan daripada penyokong skuad Penyu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial