GEORGE TOWN, 26 Dis (Bernama) -- Pulau Pinang terus menjadi pilihan utama pelancong tempatan dan luar negara sempena cuti sekolah dan perayaan Krismas, dengan kadar tempahan hotel mencatatkan prestasi amat memberangsangkan, khususnya di kawasan tumpuan pelancongan.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang Datuk Tony Goh berkata kadar penginapan hotel sepanjang hujung minggu cuti sekolah dan perayaan Krismas mencecah antara 70 hingga 90 peratus, sekali gus membuktikan daya tarikan negeri itu sebagai destinasi percutian keluarga.
"Secara purata pada hari biasa, kadar penginapan hotel di Pulau Pinang berada sekitar 70 peratus, namun ia masih dikira baik kerana sekarang ini terdapat banyak pertambahan hotel baharu di negeri ini menyebabkan tempahan pada hari bekerja dilihat agak perlahan.
''Namun, sempena Krismas dan hujung minggu ini, kadar tempahan bilik hotel khususnya di kawasan bandar George Town dan Batu Ferringhi menunjukkan peningkatan ketara berbanding hari biasa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata pembukaan beberapa hotel baharu yang dijangka beroperasi tahun hadapan akan terus merancakkan industri perhotelan dan pelancongan Pulau Pinang, selain memberi lebih banyak pilihan penginapan kepada pelancong.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata lokasi pelancongan utama di negeri itu menerima lonjakan pengunjung sejak cuti sekolah bermula Jumaat lepas.
Beliau berkata antara destinasi tumpuan pelancong ialah Bukit Bendera, yang mencatatkan lebih 30,000 pelawat bermula 19 hingga 22 Dis berdasarkan statistik diterimanya.
“Bukit Bendera tetap menjadi antara destinasi popular pelancong dalam dan luar negara sepanjang cuti sekolah ini.
“Pulau Pinang bukan sahaja terkenal dengan pantai yang indah dan lokasi pelancong menarik, malah terkenal dengan kepelbagaian makanan tempatan seperti nasi kandar, laksa dan char kuey teow yang menjadi kegemaran pelancong,” katanya.
Tinjauan di sekitar pusat bandar George Town dah Batu Ferringhi juga mendapati aliran trafik mula sesak dengan kehadiran kenderaan persendirian dari luar negeri, terutama di laluan utama menuju ke kawasan tumpuan pelancong dan pusat beli-belah.
Kesesakan turut dilaporkan di beberapa persimpangan utama dan jalan pesisir pantai pada waktu puncak dipercayai disebabkan peningkatan kehadiran pelancong sempena cuti panjang.
Sebelum ini, Bernama melaporkan lebih 2.2 juta kenderaan dijangka memasuki Pulau Pinang sempena cuti penggal akhir persekolahan dan perayaan Krismas bermula 23 Dis dan angka itu berdasarkan trend musim perayaan besar direkodkan sebelum ini, ditambah dengan penganjuran Pesta Pulau Pinang dari 6 Dis hingga 10 Jan 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial