PUTRAJAYA, 27 Dis (Bernama) -- Kerajaan akan melaksanakan program percubaan kawal selia atau sandbox bermula pada 1 Januari tahun depan untuk menilai mekanisme perlindungan kanak-kanak dan keselamatan pengguna dalam ruang digital sebelum dikuatkuasakan secara menyeluruh.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pendekatan itu akan melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta beberapa platform media sosial yang dikenal pasti.
Langkah itu katanya, memberikan ruang kepada kerajaan dan penyedia platform untuk menilai keupayaan teknikal sedia ada serta menguji mekanisme kawal selia secara terkawal.
Sandbox merujuk kepada satu kerangka ujian kawal selia yang lazim digunakan dalam sektor teknologi dan digital, dengan pihak berkepentingan dibenarkan menguji pendekatan, mekanisme atau teknologi baharu dalam persekitaran terkawal sebelum pelaksanaan penuh.
Melalui proses ini, pengawal selia dapat menilai keberkesanan, risiko serta implikasi pelaksanaan sesuatu dasar, manakala pihak industri pula diberi ruang untuk menyesuaikan keupayaan teknikal dan operasi mereka selaras dengan keperluan perundangan.
“Pendekatan kita bukan semata-mata mengarahkan. Kita mengundang semua platform untuk berada di dalam satu ruang, yang dalam bidang teknologi disebut sebagai sandbox, bagi memadankan objektif kerajaan dengan keupayaan dan alat yang ada pada platform,” katanya dalam temu bual khas bersama dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang diketuai oleh Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.
Menurut Fahmi, program percubaan itu akan berlangsung selama beberapa bulan bagi memastikan sebarang langkah yang diperkenalkan benar-benar berkesan dan tidak mudah dimanipulasi, khususnya dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada risiko dalam talian.
Mengulas langkah Australia yang melarang penggunaan media sosial kepada kanak-kanak bawah 16 tahun, Fahmi berkata Malaysia tidak bercadang mengambil pendekatan sama, sebaliknya memilih kaedah yang lebih sesuai dengan konteks tempatan.
Beliau berkata Malaysia cenderung kepada mekanisme pengesahan umur (age verification), yang dicadangkan oleh pihak platform, berbanding jaminan umur (age assurance) seperti di Australia kerana langkah itu lebih jelas dari segi pelaksanaan dan penguatkuasaan, selain memastikan privasi pengguna terus dilindungi.
“Saya menerima surat daripada pengarah serantau Facebook yang menyatakan bahawa beliau sangat terbuka dan secara rasmi Facebook bersedia membantu melakukan pengesahan umur menggunakan dokumen yang dikeluarkan kerajaan.
"Jadi, idea itu bukan datang daripada saya sebenarnya, tetapi daripada Facebook … maka, saya mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada Dr Raphael Frankel (Pengarah Dasar Awam Meta Asia Tenggara) kerana memberikan idea ini kepada saya. Kami mungkin akan mengambil langkah sebegitu," katanya.
Fahmi berkata pelaksanaan sandbox itu memberikan masa dan ruang kepada kedua-dua pihak, iaitu kerajaan dan platform untuk menilai keberkesanan mekanisme dan menutup kelemahan sistem sebelum diperluas kepada orang awam.
“Kalau satu cara tidak boleh, kita akan lihat pilihan lain. Yang penting, apabila dilaksanakan nanti, isu-isu yang timbul dapat diuruskan dengan lebih baik,” katanya.
Fahmi berkata Malaysia mengambil pengajaran daripada pengalaman negara lain, termasuk Australia dan Denmark, namun dasar dan pelaksanaan akan dibentuk mengikut konteks tempatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial