AM > BERITA

Grab Malaysia Hargai Rakan Pemandu, Penghantar Menerusi Tayangan Papa Zola The Movie

30/12/2025 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Grab Malaysia dengan kerjasama MONSTA dan Astro Shaw meraikan penutup 2025 dengan menghargai lebih 100 rakan pemandu dan rakan penghantar menerusi tayangan khas filem animasi tempatan, Papa Zola The Movie. 

Diadakan di Golden Screen Cinemas (GSC) One Utama, Petaling Jaya, tayangan itu disertai rakan pemandu dan rakan penghantar terpilih bersama ahli keluarga masing-masing bagi memberi peluang mereka meluangkan masa berkualiti bersama-sama.

Grab Malaysia memaklumkan acara itu dianjurkan sebagai tanda penghargaan atas dedikasi dan pengorbanan rakan pemandu serta rakan penghantar yang menjadi tulang belakang perkhidmatan platform itu, selain bekerja tanpa mengenal penat lelah demi menyara keluarga.

Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia Rashid Shukor berkata tayangan khas itu diadakan bagi menghargai peranan penting rakan pemandu dan rakan penghantar dalam menyokong platform terbabit, di samping menyara keluarga serta orang tersayang mereka.

“Di Grab Malaysia, kami berbesar hati meraikan rakan pemandu dan rakan penghantar yang merupakan nadi utama platform kami. Inisiatif ini mencerminkan penghargaan kami atas dedikasi dan kerja keras mereka, di samping memberi peluang kepada mereka untuk mencipta kenangan bermakna bersama keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Papa Zola The Movie serta Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA Nizam Abd Razak berkata filem berkenaan mencerminkan realiti dihadapi oleh kebanyakan ibu bapa termasuk mereka yang mencari rezeki melalui ekonomi gig.

“Filem ini menggambarkan apa yang kita saksikan setiap hari. Kami menganggap filem ini sebagai penghormatan kepada ‘pejuang dalam diam’ di luar sana yang berjuang dengan penuh cekal dan tekad demi insan disayangi,” katanya.

Penerbit Eksekutif Papa Zola The Movie merangkap Ketua Astro Shaw Raja Jastina Raja Arshad berkata pihaknya berasa bangga dapat bekerjasama dengan Grab Malaysia dalam meraikan komuniti rakan pemandu dan rakan penghantar.

Beliau berkata filem terbabit mengangkat tema pengorbanan, kasih sayang dan ketabahan manakala tayangan khas itu adalah satu daripada cara untuk menghargai komitmen rakan pemandu dan rakan penghantar.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama dalam menyokong industri animasi tempatan, Grab turut menampilkan watak Papa Zola dalam aplikasinya serta melalui pengiklanan digital luar rumah (DooH) untuk mengukuhkan keterlibatan jenama, di samping meraikan komuniti rakan pemandu dan rakan penghantar.

Papa Zola The Movie mengisahkan Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras menyara keluarga kecilnya sebelum memulakan misi menyelamatkan anak perempuannya yang diculik dengan bantuan isterinya, daripada ancaman makhluk asing.

Filem berkenaan kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei serta dijadualkan untuk tayangan antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia, diikuti India, Vietnam serta beberapa pasaran Timur Tengah, termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Turkiye pada April 2026.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan