AM > BERITA

Perintah Khidmat Masyarakat Bagi Kesalahan Buang Sampah Kecil Mula Hari Ini

01/01/2026 10:45 AM

CYBERJAYA, 1 Jan (Bernama) -- Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bagi kesalahan membuang sampah kecil dilaksanakan hari ini, menandakan peralihan dasar kerajaan daripada pendekatan hukuman berbentuk denda semata-mata kepada pembentukan tingkah laku dan tanggungjawab sivik jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed berkata penguatkuasaan PKM bukan bertujuan mengaibkan pesalah sebaliknya mendidik masyarakat supaya lebih cakna tentang kebersihan.

Beliau berkata bermula hari ini, anggota SWCorp bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan ditempatkan di lokasi tumpuan sebagai sebahagian daripada strategi penguatkuasaan berfokus, khusus bagi kesalahan membuang sampah kecil seperti puntung rokok dan sisa pembungkus.

“Anggota SWCorp dengan kerjasama PBT akan berada di lokasi tumpuan dan membawa individu yang melakukan kesalahan ke muka pengadilan untuk diputuskan oleh mahkamah,” katanya kepada pemberita dalam satu temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata mahkamah boleh mengenakan hukuman khidmat masyarakat hingga 12 jam melibatkan kerja pembersihan, selaras dengan objektif dasar untuk menghubungkan kesalahan dengan kesan langsung terhadap persekitaran awam.

PKM juga terpakai kepada semua individu tanpa pengecualian, termasuk pelancong dan pekerja asing bagi memastikan prinsip keadilan serta pematuhan undang-undang dilaksanakan secara menyeluruh.

Khalid turut menjelaskan kuasa kompaun masih dikekalkan sebagai instrumen sedia ada namun kerajaan melihat keperluan melengkapkan dengan PKM kerana denda semata-mata tidak berkesan bagi semua lapisan masyarakat.

“Bagi sesetengah individu berkemampuan denda tidak memberi kesan sebab itu pendekatan khidmat masyarakat diperkenalkan,” katanya.

Dari sudut tadbir urus, beliau berkata pelaksanaan PKM di negeri yang mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) akan dilaksanakan oleh SWCorp dan PBT, manakala negeri lain dilaksanakan sepenuhnya oleh PBT masing-masing.

Khalid berkata aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan pesalah turut menjadi pertimbangan dasar, dengan mahkamah mengambil kira faktor umur dan tahap kesihatan individu.

“Pelaksanaan hukuman akan dikawal dan anggota kami akan memastikan keselamatan sepanjang tempoh hukuman,” katanya sambil menambah penerimaan awal terhadap PKM menunjukkan sokongan dasar yang positif termasuk di Parlimen sekali gus mencerminkan kesepakatan terhadap keperluan perubahan pendekatan penguatkuasaan.

Beliau yakin PKM akan menjadi pemangkin kepada pembudayaan kebersihan nasional, selari dengan reformasi perkhidmatan kebersihan awam di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan