AM > BERITA

UTM Bangunkan Teknologi Mesin Pengimbas Mini Bagi Struktur Dalaman, Kualiti Durian Eksport

01/01/2026 03:58 PM

JOHOR BAHRU, 1 Jan (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah membangunkan teknologi Mesin Pengimbas Bagasi Mini yang berupaya memeriksa serta menganalisis struktur dalaman dan kualiti durian dengan lebih tepat tanpa menjejaskan fizikalnya.

Naib Canselor UTM Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata inovasi berasaskan teknologi pengimejan hasil penyelidikan yang diterajuinya bersama rakan strategik industri Billion Prima Sdn Bhd itu, mampu mengelakkan risiko durian tidak berkualiti ditolak selepas dieksport khususnya ke China. 

Beliau berkata produk itu, yang kini dalam peringkat akhir sebelum dikomersialkan, akan dibentang kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi mendapatkan pengiktirafan untuk digunakan bagi tujuan mengeksport hasil pertanian tersebut.

"Terdapat beberapa standard yang kita perlu ikuti untuk eksport durian ke China, dan ada pengusaha hasilnya ditolak, mungkin sebab tidak mengikut spesifikasi.

"Jadi, dengan adanya teknologi ini, ciri-ciri mengikut piawaian yang telah ditetapkan itu mampu dipenuhi dan melancarkan proses eksport," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran teknologi berkenaan di UTM di sini hari ini.

Mohd Shafry juga berkata teknologi itu diadaptasi daripada sistem pengimbasan keselamatan lapangan terbang yang diubah suai sekali gus membuka potensi baharu dalam penyelidikan pertanian, jaminan kualiti dan inovasi agroteknologi di Malaysia. 

"Walaupun mesin ini pada asasnya direka untuk pemeriksaan bagasi, ia boleh diubah suai bagi membolehkan pemeriksaan hasil pertanian tanpa perlu memotong atau merosakkan buah,” katanya.

Beliau berkata melalui penggunaan teknologi sinar-X berasaskan nanotiub karbon (CNT),  mesin itu membolehkan pengambilan imej dari pelbagai sudut dengan lebih pantas. 

"Berbanding mesin tomografi berkomputer perubatan konvensional yang memerlukan komponen berputar pada kelajuan tinggi, sistem ini lebih kecil, stabil dan sesuai untuk eksperimen di makmal," katanya.

Mohd Shafry berkata pengimbasan durian dibuat menggunakan dua tahap tenaga sinar-X iaitu tenaga rendah dan tenaga tinggi bagi meningkatkan kejelasan struktur dalaman. 

Beliau berkata pendekatan ini memperlihatkan pembezaan yang lebih jelas antara isi durian, bilangan biji dan ruang udara di dalam buah, dengan setiap pengimbasan menghasilkan imej tiga dimensi lengkap dalam tempoh kira-kira 30 saat termasuk proses pengimejan dan pembinaan semula imej.

Mohd Shafry berkata pihaknya juga akan meneruskan kajian bagi membolehkan mesin pengimbas itu menentukan jenis varieti durian yang diimbas.

Bagi Abd Hadi Ahmad Sani yang mengusahakan Dusun Durian Landak, teknologi itu mampu mengelakkan pengusaha seperti beliau menanggung kerugian termasuk kos eskport.

Beliau berkata ia sekali gus akan meningkatkan keyakinan mereka yang ingin menembusi pasaran antarabangsa.

"Dengan teknologi ini, kita dapat tahu lebih awal sama ada durian kita rosak atau berkualiti... jadi, tiada ruang untuk ia ditolak selepas dieksport," katanya yang mengusahakan kebun durian bagi agropelancongan di Pontian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan