Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 1 Jan (Bernama) -- Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) di Laos bermula dengan penuh meriah pagi ini apabila kumpulan pertama pelancong yang berlepas ke Kuala Lumpur diberi kejutan dalam bentuk pemberian cenderamata dan majlis pelepasan khas.
Tourism Malaysia Vientiane bersama Kedutaan Besar Malaysia di ibu negara Laos mewujudkan suasana mesra dan menarik bagi para pelancong yang berlepas.
Majlis pelepasan promosi bagi penerbangan AirAsia AK553 itu diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, pintu masuk utama bagi pelancong ke Vientiane.
Pada hari pertama Tahun Baharu, seramai 170 penumpang berlepas ke Kuala Lumpur bagi menikmati pelbagai tawaran pelancongan di Malaysia.
“Bagi menandakan bermulanya kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, kami mengedarkan beg cenderamata dan maklumat pelancongan kepada semua penumpang.
“Inisiatif ini bertujuan memperkukuh hubungan pelancongan serta mengajak pelawat dari Laos dan pelancong antarabangsa untuk meneroka kepelbagaian tarikan budaya dan alam semula jadi Malaysia, selain menikmati pelbagai aktiviti sepanjang tahun,” kata Pengurus Pemasaran Tourism Malaysia Laos yang berpangkalan di Vientiane, Sordaly Chanthavong, kepada Bernama.
Beliau berkata Tourism Malaysia akan terus mempergiat kempen promosi di pelbagai lokasi, termasuk Luang Prabang dan Champasak, dengan menggunakan khidmat pempengaruh serta platform media sosial. Malaysia menyasarkan untuk menarik kira-kira 30,000 pelancong Laos pada tahun ini.
Tourism Malaysia turut melancarkan kempen berskala besar dengan sasaran 43 juta pelawat antarabangsa sempena TMM2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial