AM > BERITA

Lebih 15,000 Murid Asnaf Terima Bantuan Jom Ke Sekolah 2026

04/01/2026 02:19 PM

TANJONG MALIM, 4 Jan (Bernama) -- Lebih 15,000 murid asnaf di seluruh negara menerima set kelengkapan persekolahan menerusi Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2026, membabitkan jumlah peruntukan keseluruhan mencecah RM4.39 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Hassan berkata program itu dianjurkan oleh Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), dan bagi daerah Muallim sahaja sebanyak 500 murid menerima bantuan melibatkan peruntukan sebanyak RM91,500.

“Melalui bantuan itu, ibu bapa tidak perlu lagi bimbang mengenai penyediaan pakaian seragam, kasut serta alat tulis anak-anak mereka, sekali gus memberikan ruang kepada keluarga asnaf untuk menyalurkan lebihan kewangan bagi keperluan lain yang lebih mendesak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program #MADANI Membantu Jom Ke Sekolah 2026 di Dewan Muallim Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), di sini hari ini.

Setiap murid diperuntukkan bantuan bernilai RM183, yang merangkumi kelengkapan persekolahan lengkap dan berkualiti, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan tiada murid tercicir daripada sistem pendidikan hanya disebabkan kekangan kewangan.

“Oleh itu, segala bentuk bantuan yang disalurkan ini adalah pelaburan jangka panjang bagi melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing,” katanya.

 Zulkifli berkata pihaknya berharap bantuan berkenaan dapat menyuntik semangat kepada murid asnaf untuk belajar bersungguh-sungguh, di samping membentuk sahsiah diri yang baik, beradab, berakhlak mulia serta menghormati ibu bapa dan guru.

“Usaha seumpama ini juga mencerminkan peranan institusi zakat dan agensi agama dalam memastikan kebajikan golongan memerlukan terus terbela, selaras dengan agenda kesejahteraan ummah dan keadilan sosial,” katanya.

Beliau berkata Program Jom Ke Sekolah 2026 dijangka diteruskan ke beberapa negeri lain dalam tempoh terdekat bagi memastikan semua penerima yang layak memperoleh bantuan sebelum sesi persekolahan bermula.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan