Oleh Sakini Mohd Said, Nazira Hasanah Nasaruddin dan Nurulhaliza Zailani
KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bermula 1 Jan lepas dilihat sebagai ‘sandaran penting’ kepada agenda transformasi kerajaan dalam menangani polemik pembuangan sampah kecil, dengan pendekatan beralih daripada hukuman punitif semata-mata kepada pembentukan tanggungjawab sivik.
Pendekatan baharu yang berpaksi kepada usaha menyemai kesedaran dan membentuk masyarakat lebih cakna terhadap kepentingan kebersihan persekitaran itu turut dilihat sebagai pemangkin perubahan tingkah laku berterusan dalam penjagaan ruang awam demi kesejahteraan bersama.
Namun di sebalik kepentingan pelaksanaannya, PKM turut menimbulkan persoalan berkaitan tahap penerimaan masyarakat dan keberkesanan penguatkuasaan bagi memastikan matlamat yang disasarkan itu dapat dicapai secara menyeluruh serta bersepadu untuk jangka masa panjang.
Tinjauan Bernama di sekitar Lembah Klang beberapa hari selepas PKM dikuatkuasakan mendapati masih terdapat segelintir masyarakat yang belum menyedari sepenuhnya kewujudan perintah itu, malah ada yang kurang jelas mengenai skop kesalahan dan tujuan pelaksanaannya.
Antara respons yang diterima termasuk ‘tak tahu’, ‘sejak bila ada peraturan itu’, ‘PKM melibatkan kesalahan bagaimana’, ‘apa tujuannya’, sekali gus menggambarkan tahap kefahaman masyarakat masih belum lagi menyeluruh biarpun notis atas kesalahan itu telah mula dikeluarkan.
Sebelum ini, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengeluarkan 42 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) terhadap individu yang didapati membuang sampah kecil di tempat awam dalam OPS Cegah sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026.
Kesalahan membuang sampah kecil memperuntukkan denda maksimum hingga RM2,000 jika disabitkan kesalahan, selain mahkamah boleh mengenakan hukuman tambahan berupa PKM bagi tempoh tidak melebihi enam bulan melibatkan jumlah kerja tidak melebihi 12 jam dan jika gagal melaksanakan PKM yang diperintahkan, tindakan pendakwaan akan dikenakan dengan denda antara RM2,000 hingga RM10,000.
Walaupun terdapat pihak yang berpendapat tempoh hebahan dan pendidikan wajar diberikan sebelum penguatkuasaan dilaksanakan sepenuhnya, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed berkata sudah tiba masanya langkah itu dilaksanakan bagi menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani isu pembuangan sampah kecil.
Beliau berkata PKM adalah elemen perundangan baharu yang diperkenalkan khusus bagi menangani kesalahan pembuangan sampah kecil di tempat awam atau di jalan seperti puntung rokok, tisu, plastik, tin minuman dan plastik pembungkus makanan.
Khalid berkata biarpun sampah itu dilihat bersaiz kecil, pengumpulan sisa di tempat awam dan jalan berisiko menjejaskan estetika persekitaran selain menjadi punca utama penyumbatan saliran, pencemaran alam serta penularan penyakit bawaan vektor seperti tikus, lalat dan nyamuk.
“Melalui PKM, pesalah diberi peluang merasai sendiri kesukaran menguruskan sisa pepejal yang dibuang secara tidak bertanggungjawab. Usaha ini bukan semata-mata bertujuan untuk menghukum, sebaliknya dirangka bagi mentransformasi minda dan tingkah laku masyarakat ke arah pembentukan tanggungjawab sivik yang mampan,” katanya kepada Bernama.
Khalid berkata pelaksanaan PKM di kawasan awam di bawah seliaan pihak berkuasa bukan sahaja memberi pengajaran bermakna kepada pesalah agar tidak mengulangi perbuatan sama, malah berfungsi sebagai mesej jelas ketegasan kerajaan dalam menangani isu kebersihan awam.
Beliau berkata pelaksanaan PKM bersifat holistik yang terpakai kepada semua individu tanpa pengecualian termasuk pelancong dan pekerja asing, apabila mereka yang didapati bersalah akan melaksanakan tugas di bawah pengawasan pegawai yang diberi kuasa serta pesalah diwajibkan memakai jaket khas sepanjang tempoh khidmat masyarakat.
Menurut Khalid, aspek keselamatan pesalah turut diberi keutamaan dengan skop kerja merangkumi tugas kebersihan tidak berbayar seperti menyapu sisa pepejal, mengemop lantai, memotong rumput dan mencuci sistem saliran dan longkang.
“Pelaksanaan perintah ini dikategorikan mengikut umur pesalah. Bagi pesalah dewasa, hukuman dilaksanakan mengikut peruntukan Akta 672 (Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007), Akta 171 (Akta Kerajaan Tempatan 1976) dan Akta 133 (Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974) yang sudah dipinda.
“Bagi kanak-kanak bawah 18 tahun, pelaksanaan perintah diselaraskan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya, sambil menambah setakat 2 Jan lepas, sebanyak 120 individu direkodkan melakukan kesalahan itu melibatkan 86 warga tempatan dan 34 warga asing dengan purata umur antara 16 hingga 56 tahun.
Beliau berkata SWCorp amat mengalu-alukan kerjasama komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menjayakan pelaksanaan PKM, dengan sebarang aduan boleh disalurkan melalui WhatsApp di talian 013-210 7472 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) SWCorp di swcorp.spab.gov.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Ikmal Hisham Md Tah berkata pelaksanaan PKM tetap relevan meskipun pendidikan kebersihan telah diterapkan di peringkat sekolah.
“Pada saya pendidikan di peringkat sekolah telah mencukupi tetapi masalah kepada sikap dan penguatkuasaan. Di sekolah ekosistem lebih terkawal, namun apabila kanak-kanak keluar daripada persekitaran dan melihat orang dewasa membuang sampah merata-rata, membuatkan mereka terikut sama,” katanya.
Beliau berkata kewujudan hukuman seperti PKM dapat memperkukuh aspek penguatkuasaan dan memberi pengalaman pembelajaran praktikal yang tidak diperoleh dalam bilik darjah, sekali gus mewujudkan keseimbangan antara teori dan amalan.
Ikmal Hisham menyifatkan tempoh hukuman PKM yang tidak melebihi enam bulan dengan jumlah kerja maksimum 12 jam sebagai memadai selari dengan keupayaan manusia bekerja dan mampu memberi pengajaran kepada pesalah tanpa menjejaskan kerja hakiki serta punca pendapatan pesalah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial