AM > BERITA

Pengecualian Cukai Jualan Input Pertanian 'Durian Runtuh' Kepada Sektor Pertanian - KPKM

06/01/2026 09:00 AM

PUTRAJAYA, 6 Jan (Bernama) -- Pengecualian cukai jualan kadar sifar terhadap input pengilang berdaftar bagi industri makanan ternakan, baja dan racun serangga disifatkan sebagai 'durian runtuh' kepada sektor pertanian.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan inisiatif itu amat dinantikan pemain industri kerana ia mampu mengurangkan kos pengeluaran, sekali gus memastikan harga produk pertanian kekal mampu milik bagi menyokong keselamatan makanan negara.

Menurut KPKM, Amanat Tahun Baharu 2026 yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disokong penuh, khususnya penekanan terhadap agenda keterjaminan makanan yang dilihat selari dengan usaha memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memelihara kesejahteraan rakyat.

KPKM turut menyambut baik komitmen Kerajaan MADANI untuk meneruskan pelaksanaan 5,000 Jualan Agro MADANI (JAM) pada tahun ini.

"Program ini terbukti berkesan dalam membantu meringankan kos sara hidup dengan memudahkan rakyat mendapatkan bekalan produk segar dan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah berbanding pasaran," menurut kenyataan KPKM.

KPKM meneruskan komitmen untuk melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara secara menyeluruh, selaras dengan dasar dan hala tuju kementerian.

Dalam perutusan Tahun Baharu 2026 semalam, Perdana Menteri mengumumkan pengecualian cukai jualan terhadap bahan mentah atau input yang kritikal dan digunakan oleh pengilang berdaftar, khususnya untuk pengeluaran barangan berkaitan sektor penternakan dan pertanian, sebagai langkah mengawal harga barangan keperluan asas rakyat.

Pengecualian itu meliputi makanan ternakan, baja dan racun perosak, selaras dengan usaha memastikan kestabilan kos pengeluaran dan rantaian bekalan makanan negara.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan