AM > BERITA

Penutupan Penuh Pusingan-U Di KM9.5 Kedua-Dua Arah Besraya Mulai Esok

04/01/2026 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Ujian rintis penutupan penuh pusingan-U di Kilometer (KM) 9.5 kedua-dua arah Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) akan dilaksanakan bermula esok secara percubaan selama enam bulan.

Besraya (M) Sdn Bhd dalam kenyataan memaklumkan penutupan itu adalah inisiatif untuk meningkatkan kelancaran aliran trafik bagi keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya berkenaan.

Ini berikutan pembangunan pesat di sepanjang jajaran Besraya seperti Pekan Sungai Besi, Kampung Malaysia, Kuchai Lama, Pekan Salak Selatan, Bandar Tasik Permaisuri dan Taman Salak Jaya telah menyumbang kepada pertambahan trafik dan menyebabkan kesesakan pada waktu puncak pagi dan petang di kawasan itu. 

“Lalu lintas bersilang (traffic weaving) di pusingan-U di KM9.5 turut mengganggu aliran trafik laluan utama lebuh raya dan menyumbang kepada kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan itu,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan dengan itu, sepanjang tempoh pelaksanaan penutupan penuh itu, pengguna dari arah selatan boleh menggunakan pusingan-U di KM8.6 manakala pengguna dari arah utara menggunakan pusingan-U di KM10.5.

“Segala kesulitan amatlah dikesali. Sila rancang perjalanan anda dan berhati-hati ketika memandu. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi talian Besline di 1-800-88-0999,” menurut Besraya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan