EKONOMI > BERITA

PERMINTAAN PENUMPANG UDARA NAIK 5.7 PERATUS TAHUN KE TAHUN - IATA

08/01/2026 10:45 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Jumlah permintaan yang diukur hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK), meningkat sebanyak 5.7 peratus pada November 2025 berbanding tempoh sama tahun lepas, manakala jumlah kapasiti diukur mengikut tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK), melonjk 5.4 peratus tahun ke tahun (y-o-y), kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

IATA berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa faktor muatan November adalah 0.3 mata peratusan lebih tinggi pada 83.7 peratus tahun ke tahun, rekod tertinggi untuk bulan tersebut kerana syarikat penerbangan terus memenuhi permintaan penumpang yang semakin meningkat meskipun terdapat kekangan kapasiti berterusan, berpunca daripada cabaran dalam rantaian bekalan aeroangkasa.

“Azam tahun baharu untuk sektor pembuatan mestilah meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi keperluan pelanggan syarikat penerbangannya. Tunggakan lebih daripada 17,000 pesanan pesawat pada 2025 harus dikurangkan pada 2026,” kata Ketua Pengarah IATA Willie Walsh.

IATA melaporkan bahawa RPK antarabangsa adalah 7.7 peratus pada November tahun ke tahun dan faktor muatan antarabangsa pada 84 peratus juga merupakan rekod tertinggi pada bulan November.

Bagaimanapun, berbanding Oktober 2025, pertumbuhan susut sedikit di semua rantau kecuali Afrika, kata kenyataan itu.

Sementara itu, RPK domestik meningkat 2.7 peratus berbanding November 2024 dan faktor muatan stabil pada 83.2 peratus berdasarkan pengembangan kapasiti sebanyak 2.7 peratus.

“Brazil dan India merupakan pasaran yang paling pesat berkembang. Trafik domestik Amerika Syarikat (AS) merupakan satu-satunya pasaran utama yang menyaksikan penurunan permintaan, mungkin disebabkan oleh penutupan kerajaan AS,” katanya.

IATA berkata syarikat penerbangan Asia Pasifik mencapai peningkatan permintaan sebanyak 9.3 peratus tahun ke tahun, kapasiti meningkat 8.7 peratus tahun ke tahun, dan faktor muatan adalah 0.5 mata peratusan lebih tinggi pada 85.8 peratus berbanding November 2024.

“Ketegangan geopolitik menyebabkan trafik antara China dan Jepun perlahan kepada pertumbuhan satu digit buat kali pertama pada 2025,” katanya.

Sementara itu, syarikat penerbangan di Eropah mengalami peningkatan permintaan sebanyak 6.8 peratus tahun ke tahun, kapasiti meningkat 6.1 peratus tahun ke tahun dan faktor muatan adalah 0.5 mata peratusan lebih tinggi pada 85.6 peratus berbanding November 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan