KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Menjelang ketibaan bulan Ramadan pada pertengahan Februari ini, AnCasa Hotel Kuala Lumpur tampil dengan Bufet Ramadan 2026 yang mengetengahkan dua konsep warisan istimewa, iaitu Warisan AnCasa di Saffron Brasserie serta Warisan Peranakan di Madam Zee.
Naib Presiden Kanan Bahagian Hospitaliti AnCasa Hotels & Resorts Shah Azam Khan Noor Mohammad berkata konsep bufet Ramadan tahun ini dirangka bagi menawarkan pengalaman lebih bermakna kepada para tetamu.
"Tahun ini, kami membawakan pengalaman bufet Ramadan yang lebih istimewa dengan memperkenalkan dua konsep warisan yang berbeza iaitu Warisan AnCasa dan Warisan Peranakan sebagai penghargaan kami terhadap kepelbagaian budaya serta cita rasa autentik yang menjadi identiti AnCasa Hotels & Resorts," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bufet Ramadan Warisan AnCasa di Saffron Brasserie mengetengahkan sajian tradisional Melayu berteraskan resipi kampung dan hidangan nostalgia yang kaya dengan rasa, sesuai dinikmati seisi keluarga.
Lebih 100 hidangan istimewa ditawarkan antaranya Nasi Lemuni, Ayam Rendang Daun Maman, Daging Kandar, Ikan Kari Kampung, Sambal Udang Petai, Sayur Jantung Pisang Lemak Putih, Kambing Gulai Kawah, Kambing Bakar, Ikan Bakar, Sup Gear Box Kambing serta pencuci mulut istimewa seperti Apam Balik AnCasa.
“Bufet ini turut diperkaya dengan sajian popular Pakistan seperti Bathura, Panni Puri, Dhall Tarka dan Ayam Madras,” katanya.
Sementara itu, bufet Ramadan Warisan Peranakan di Madam Zee menampilkan kehalusan masakan Nyonya berasaskan resipi tradisi turun-temurun yang sarat dengan rasa dan nilai warisan budaya.
Antara hidangan utama ialah Kari Kepala Ikan Nyonya, Ketam Masak Cili, Masak Lemak Udang Galah Sungai, Nyonya Itik Sio dan Sayur Goreng Belacan Empat Raja Melaka, selain pelbagai kuih tradisional seperti Kuih Gading Galoh, Kuih Ku Merah, Pulut Tekan, Koci Pulut Hitam, Kuih Dadar, Tapai Pulut dan Pengat Manis.
Bagi tempahan awal, harga baucar bufet Warisan AnCasa ditawarkan pada RM88 bersih seorang, manakala Warisan Peranakan pada RM98 bersih seorang, dengan tarikh tutup pembelian sebelum 1 Feb 2026.
Harga biasa bagi bufet Warisan AnCasa ialah RM98 bersih bagi dewasa, manakala Warisan Peranakan RM118 bersih untuk dewasa.
Bagi kedua-dua konsep, harga bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas ialah RM78 bersih, manakala kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun RM58 bersih seorang.
Untuk maklumat lanjut dan tempahan, orang ramai boleh menghubungi talian 03-2026 6060 sambungan 7703 atau 011-3179 4121.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial