BERITA TERGEMPAR   The Malaysia Economic Forum 2026 will be held on Feb 5 to strengthen the MADANI Economy narrative, ensuring inclusive and sustainable growth -- Economy Minister | 
 AM > BERITA

Had Tempoh Jawatan Perdana Menteri Langkah Progresif Wujudkan Demokrasi Seimbang

05/01/2026 07:58 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal penuh dilihat sebagai langkah pembaharuan institusi yang progresif ke arah pentadbiran negara yang lebih telus, berakauntabiliti dan berintegriti.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata cadangan itu mencerminkan aspirasi rakyat yang mahukan sistem tadbir urus lebih seimbang serta bebas daripada sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa, berteraskan prinsip semak dan imbang.

“Saya berharap pembaharuan institusi ini dapat diterjemahkan melalui tindakan dan pindaan perundangan yang jelas demi kepentingan masa depan negara serta generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chow turut menyambut baik pengumuman Kerajaan Persekutuan bahawa rang undang-undang (RUU) berkaitan akan dibentangkan pada sesi Parlimen tahun ini selari dengan usaha memperkukuh amalan demokrasi dan tadbir urus yang lebih telus.

Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian daripada reformasi institusi penting untuk memperkukuh amalan demokrasi dan memastikan tadbir urus negara yang lebih telus serta berintegriti.

Beliau berkata pembaharuan berkenaan juga sejajar dengan inisiatif Pulau Pinang yang menjadi negeri pertama mengehadkan tempoh lantikan Ketua Menteri kepada dua penggal selepas pindaan Perlembagaan Negeri diluluskan pada 16 Nov 2018.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata sekiranya seseorang Perdana Menteri menunjukkan prestasi yang baik dan memberi manfaat kepada rakyat serta negara, tidak menjadi masalah untuk memegang jawatan itu bagi tempoh yang lama.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan mengenai pembentangan rang undang-undang had tempoh jawatan Perdana Menteri itu ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Januari dan Amanat Tahun 2026 di Putrajaya pagi ini. 

Cadangan itu antara beberapa inisiatif reformasi institusi yang akan dibawa ke sesi Parlimen akan datang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan