Oleh Habsah Ismail
KOTA BHARU, 6 Jan (Bernama) -- Keputusan mengenai jenis jambatan yang akan dibina bagi menggantikan titi gantung yang runtuh di Kampung Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai hanya akan dimuktamadkan selepas sesi libat urus bersama penduduk setempat.
Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Kelantan Jasri Kasim berkata penilaian menyeluruh sedang dilaksanakan melibatkan aspek teknikal, lokasi dan status tanah memandangkan tapak jambatan itu terletak di kawasan rizab sungai serta melibatkan tanah milik individu.
“Sekiranya pembinaan jambatan yang lebih kukuh atau bersifat kekal dipersetujui penduduk, urusan berkaitan pengambilan atau pembelian tanah mungkin perlu dilaksanakan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Jasri berkata pasukan teknikal turut meneliti sama ada pembinaan jambatan berkenaan melibatkan kawasan rizab jalan atau Right of Way yang dapat memudahkan proses pelaksanaan tanpa isu pemilikan tanah.
Beliau berkata lawatan tapak yang dijalankan baru-baru ini turut disertai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Tanah dan Galian, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Beliau berkata anggaran awal kos sebanyak RM400,000 disediakan bagi pembaikan semula jambatan gantung sedia ada, namun kos berkenaan tertakluk kepada keputusan akhir mengenai jenis jambatan yang akan dibina.
“Keutamaan kerajaan adalah memastikan aspek keselamatan penduduk terjamin serta pembinaan dilaksanakan mengikut keperluan sebenar komuniti dan keadaan aliran sungai, terutama ketika hujan lebat,” katanya.
Beliau berkata pembinaan jambatan berkenaan disasarkan bermula seawal hujung Januari ini.
Pada Jumaat lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan peruntukan disediakan bagi menggantikan segera titi gantung itu yang runtuh sehingga menyebabkan orang awam cedera serta menjejaskan akses harian penduduk sekitar.
Susulan pengumuman itu, Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan penghargaan kepada Anwar dan telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai untuk menyelaras segala urusan berkaitan bersama ICU JPM serta agensi terlibat bagi memastikan kerja itu disegerakan dan dilaksanakan secara teratur.
Khamis lepas, tular di media sosial suasana meriah majlis perkahwinan bertukar cemas apabila titi gantung dilalui tetamu tiba-tiba runtuh sehingga menyebabkan beberapa orang terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai di Lata Rek
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial