BERITA TERGEMPAR   The Malaysia Economic Forum 2026 will be held on Feb 5 to strengthen the MADANI Economy narrative, ensuring inclusive and sustainable growth -- Economy Minister | 
 AM > BERITA

JBPM Laksana Lebih 800 Operasi Menyelamat, Pindah Mangsa Banjir

07/01/2026 09:08 AM

KUALA TERENGGANU, 7 Jan (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan sebanyak 898 operasi pemindahan dan menyelamat mangsa banjir di seluruh negara dalam tempoh 13 Nov hingga semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Ahmad Izram Osman berkata operasi berkenaan melibatkan seramai 4,747 mangsa yang dipindahkan atau diselamatkan menerusi operasi di air, darat dan udara.

Selain itu, beliau berkata dalam tempoh sama, JBPM turut melaksanakan sebanyak 8,174 operasi atau kerja pemantauan di semua lokasi termasuk pantai, sungai dan kawasan banjir bagi memastikan keselamatan orang awam sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

“Sepanjang tempoh MTL iaitu dari 13 Nov hingga semalam, JBPM menerima sebanyak 873 panggilan kecemasan daripada orang awam yang memerlukan pelbagai bentuk bantuan.

“Bagi negeri yang tidak mempunyai Pasukan Gerak Cepat (PGC) seperti Kelantan dan Perlis, JBPM telah menghantar pasukan bantuan dari Kuala Lumpur, Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Selangor, Kedah serta Pulau Pinang,” katanya pada Program Sumbangan Kebajikan Persatuan Kebajikan JBPM dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Sinar Murni (PERISMA) 2026 di Pejabat JBPM Terengganu di sini petang semalam.

Turut hadir, Pengarah JBPM Terengganu Nor Mahathir Muhamad.

Pada program itu, Ahmad Izram menyampaikan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan kepada 16 anggota bomba yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak enam kematian akibat lemas direkodkan di seluruh negara dalam tempoh 1 Jan hingga semalam.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan sebarang aktiviti di air sehingga berakhirnya musim MTL.

“Tiga kes kematian berlaku di pantai, manakala selebihnya melibatkan sungai atau tali air (dua kes) serta air terjun (satu kes). Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan tidak melakukan sebarang aktiviti air sepanjang tempoh MTL yang masih belum berakhir,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan