AM > BERITA

AirAsia Tawar Penerbangan Tambang Tetap Ke Sabah, Sarawak Sempena Tahun Baharu Cina, Aidilfitri - Loke

08/01/2026 03:41 PM

SEPANG, 8 Jan (Bernama) -- AirAsia menawarkan tiket penerbangan tambang tetap pada kadar RM328 ke Sarawak dan RM398 ke Sabah dari Kuala Lumpur, masing-masing bagi laluan sehala, sempena perayaan Tahun Baharu Cina dan Aidilfiriti.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke, ketika mengumumkan perkara itu, berkata inisiatif berkenaan bertujuan memastikan rakyat Malaysia dapat pulang ke kampung halaman dengan tambang mampu milik semasa musim perayaan sekali gus menjadikan perjalanan udara lebih mudah diakses oleh ramai orang.

“Saya gembira melihat peranan berterusan AirAsia dalam menyokong usaha kerajaan menguruskan permintaan perjalanan semasa musim perayaan melalui  inisiatif seperti tambang tetap yang memberikan keyakinan kepada lebih ramai pengembara ketika merancang perjalanan pulang mereka terutama bagi mereka yang melakukan perjalanan antara Kuala Lumpur dan Sabah serta Sarawak.

“Tambang tetap ini bertujuan memberi kepastian kepada rakyat Malaysia ketika merancang perjalanan sempena perayaan dan menyokong penyatuan keluarga sempena sambutan hari yang amat bermakna,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Tambang Tetap AirAsia di sini hari ini.

Sepanjang tempoh perayaan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri, inisiatif tambang tetap itu akan menawarkan sebanyak 1,578 penerbangan secara keseluruhan dengan lebih 31,000 tempat duduk.

Tempahan tiket bagi sambutan Tahun Baharu Cina dibuka mulai hari ini hingga 24 Feb untuk perjalanan antara 13 hingga 24 Feb 2026 manakala tempahan bagi Aidilfitri dibuka mulai hari ini hingga 26 Mac bagi perjalanan antara 18 hingga 26 Mac depan.

Loke juga berkata kerajaan kekal komited untuk menyokong pelajar melalui program baucar FLYSiswa bernilai RM400, yang akan diteruskan tahun ini bagi membantu meringankan kos perjalanan mereka yang berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Malaysia Timur.

“Inisiatif FLYSiswa untuk tahun ini akan dilaksanakan pada minggu hadapan,” katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Datuk Kapten Fareh Mazputra dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia Datuk Kapten Norazman Mahmud.

Semalam, Kementerian Pengangkutan memaklumkan akan menganjurkan Karnival FLYSiswa 2026 pada 13 Jan ini di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian, Universiti Putra Malaysia dari 9 pagi hingga 4 petang.

Menurut MOT, pelajar yang layak akan menerima baucar digital bernilai RM400 dalam bentuk kredit simpanan untuk pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi sehala atau dua hala dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly dan MASwings.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan