AM > BERITA

Komunikasi Jelas Penting Dalam Perubahan Cukai - MOF

08/01/2026 04:21 PM

PUTRAJAYA, 8 Jan (Bernama) -- Menyedari hal percukaian perkara sensitif kepada semua pembayar cukai, penting bagi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) untuk mendengar serta memahami sentimen awam, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan susulan lawatan sulungnya ke Ibu Pejabat LHDN di sini, sambil menegaskan keperluan agensi itu berkomunikasi secara jelas, mudah difahami dan memuaskan kepada semua pembayar cukai, khususnya apabila melibatkan perubahan atau pindaan peraturan serta undang-undang percukaian.

Liew berkata komunikasi yang berkesan amat penting bagi membina keyakinan awam terhadap sistem percukaian negara, selain memastikan dasar yang diperkenalkan dapat diterima dan dilaksanakan dengan lebih lancar.

Selain itu, beliau berkata LHDN juga boleh memainkan peranan penting dalam melonjakkan syarikat Malaysia, khususnya multinasional tempatan dengan memastikan wujudnya medan persaingan yang adil antara syarikat asing dan tempatan.

“Ketika di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), antara fokus utama saya ialah mengubah paradigma penilaian terhadap syarikat Malaysia. Kita sering menganggap hanya syarikat asing mempunyai teknologi, sedangkan hakikatnya sudah ada syarikat Malaysia yang mencapai tahap teknologi tinggi dan bertaraf juara dunia dalam bidang khusus,” katanya.

Liew berkata pendekatan yang adil dalam sistem percukaian penting bagi memastikan syarikat tempatan tidak dikebelakangkan, sekali gus menyokong agenda membangunkan syarikat nasional yang berdaya saing di peringkat global.

Mengulas mengenai pendigitalan, Liew berkata LHDN yang memiliki pangkalan data besar telah membuktikan keupayaan menguruskan pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), di samping menjalankan fungsi terasnya sebagai agensi pemungut hasil kerajaan.

“Kejayaan mengendalikan subsidi bersasar BUDI95 (BUDI MADANI RON95) juga menunjukkan Malaysia merupakan antara negara yang berjaya dari segi digital. Usaha ini perlu diperluaskan bagi meningkatkan tahap pendigitalan proses kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata peranan LHDN amat penting dalam menjayakan agenda pendigitalan nasional kerana gerak kerjanya melibatkan populasi yang besar.

Dalam pada itu, Liew merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Abu Tariq Jamaluddin atas jemputan lawatan berkenaan.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada pegawai dan petugas Sektor Dasar Percukaian, Jabatan Pungutan Hasil, Jabatan Resolusi Pertikaian, Jabatan e-Invois, Jabatan Operasi Setem dan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT), Pusat Operasi dan Teknikal Hasil serta seluruh warga LHDN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan