KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Peranti eBraille keluaran anak tempatan membuka lembaran baharu dalam pengajaran al-Quran untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, sekali gus memperluas akses mereka kepada ilmu agama dan pengetahuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata peranti hasil inovasi syarikat Edote Sdn Bhd itu dapat menyelesaikan kekangan utama guru OKU penglihatan, yang sebelum ini terpaksa menggunakan al-Quran Braille konvensional yang lebih berat dan besar.
“Ini hasil daya cipta daripada anak Malaysia sendiri yang menawarkan harga lebih murah, malah sangat di hadapan, dan ia adalah satu daya cipta inovasi sangat baik.
“Sebelum ini mereka (golongan OKU penglihatan) menggunakan al-Quran Braille itu 10 kilogram, enam jilid. Tetapi kali ini mereka hanya menggunakan peranti eBraille, hanya tidak sampai satu kilogram,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Penggunaan Peranti eBrelle dan Majlis Penyerahan Peranti eBrelle kepada Guru-Guru al-Quran OKU Penglihatan di sini hari ini.
Majlis itu dianjurkan bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan syarikat Edote Sdn Bhd.
Menurut Zulkifli, sebanyak 10 peranti eBraille diserahkan pada majlis itu dengan dua daripadanya diletakkan di Masjid Besi atau Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dan Masjid Jamek di sini bagi meneruskan kelas kuliah menggunakan inovasi tersebut.
“Kita ingin melahirkan lebih ramai guru al-Quran yang boleh menggunakan eBraille ini supaya anak-anak OKU penglihatan ini boleh akses kepada ilmu agama dan al-Quran khususnya,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua YADIM Datuk Dr Hasan Bahrom dalam ucapannya berkata sebanyak 20 guru al-Quran OKU penglihatan bersama pengiring masing-masing telah menyertai bengkel berkenaan, yang bertujuan memperkasakan kaedah pengajaran al-Quran melalui teknologi terkini.
Bagi menjayakan inisiatif itu, beliau berkata sebanyak RM90,000 telah diperuntukkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya agensi kerajaan memanfaatkan teknologi sepenuhnya dalam menyantuni rakyat.
“Langkah ini juga selaras dengan Pelan Tindakan Agensi Agama Bagi OKU Muslim 2024-2028 yang memberi penekanan jelas terhadap pendidikan agama serta hak OKU menunaikan ibadah sebagai Muslim.
“YADIM akan terus memperluas, memantau dan menambah baik program seumpama ini termasuk melalui kerjasama dengan media, pertubuhan bukan kerajaan serta sektor swasta. Usaha ini diharap dapat memberdayakan OKU dalam agenda pembangunan dakwah negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial