AM > BERITA

Anwar Terima Kunjungan Hormat Mesut Ozil, Anak Presiden Erdogan Di Istanbul

08/01/2026 10:56 PM

Daripada Muhammad Saufee Rosman

ISTANBUL, 8 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat bekas pemain bola sepak antarabangsa terkenal Mesut Ozil dan anak presiden Turkiye, Necmeddin Bilal Erdogan pada hari terakhir lawatan rasminya ke negara itu, hari ini.

Pada pertemuan berlangsung di sebuah hotel di sini, Anwar sempat berkongsi pengalaman serta bertukar pandangan dengan Ozil, mengenai pelbagai perkara termasuk melibatkan kepentingan umat Islam dan situasi kemanusiaan di Gaza.

“Sebagai selingan santai, perbualan kami turut menyentuh kisah cucu saya yang merupakan penyokong tegar The Gunners, satu perkara yang mengundang senyuman beliau,” kata Perdana Menteri menerusi satu kenyataan.

Perdana Menteri turut mengambil kesempatan menjemput bekas pemain Arsenal dan Real Madrid itu  berkunjung ke Malaysia untuk berkongsi pengalaman tentang  bola sepak, kepimpinan, nilai kemanusiaan serta peranan anak muda dalam memperjuangkan keadilan dan solidariti sejagat.

Anwar berkata Ozil kini terlibat secara aktif dalam AK Party Republik Turkiye di samping terus komited dalam pelbagai inisiatif kemanusiaan.

Pertemuan itu kemudiannya disertai Necmeddin Bilal.

Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi ke Turkiye sejak Selasa lepas, atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Lawatan rasmi itu juga merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan