AM > BERITA

Lawatan Rasmi Anwar Ke Turkiye Catat Pencapaian Penting Melalui HLSCC

09/01/2026 11:51 AM

Daripada Muhammad Saufee Rosman

ISTANBUL, 9 Jan (Bernama) -- Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye selama tiga hari yang berakhir semalam melakar pencapaian penting, khususnya menerusi penubuhan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi Malaysia-Turkiye (HLSCC).

Mesyuarat sulung HLSCC yang dipengerusikan bersama Anwar dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden, Ankara pada Rabu mencerminkan keutuhan hubungan diplomatik kedua-dua negara serta komitmen untuk memperluas kerjasama strategik merangkumi pelaburan, perdagangan, pertahanan dan pendidikan demi manfaat bersama.

Deklarasi Bersama Penubuhan HLSCC turut ditandatangani kedua-dua pemimpin, menandakan persetujuan meningkatkan hubungan dua hala ke tahap tertinggi dan membuka lembaran baharu kerjasama Malaysia-Turkiye.

Dalam sidang media mengakhiri lawatan rasmi itu, Anwar berkata penubuhan HLSCC meletakkan Malaysia dalam kelompok kecil negara yang diberi kepercayaan Turkiye untuk menjalin kerjasama strategik pada peringkat tertinggi.

“Ini permulaan signifikan kerana tidak banyak negara yang mempunyai hubungan dua hala pada tahap ini, memandangkan majlis berkenaan dipengerusikan bersama oleh Presiden dan Perdana Menteri,” katanya.

Semasa lawatan berkenaan, Anwar mengadakan pertemuan empat mata dengan Erdogan, menumpukan kepada usaha memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia-Turkiye serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan global yang menjadi kepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin menyaksikan pemeteraian tujuh dokumen bagi mengukuhkan kerjasama strategik antara Malaysia dan Turkiye merentasi pelbagai bidang, sekali gus melambangkan kesepakatan untuk membina hubungan dua hala yang lebih tersusun, progresif dan saling melengkapi, berteraskan kepentingan strategik serta manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Antara dokumen yang ditandatangani ialah surat setuju terima (LoA) perolehan Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) 2 antara Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan Desan Shipyard, serta Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Pihak Berkuasa Informasi dan Teknologi Komunikasi Turkiye dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Usaha memperkukuh persahabatan juga dizahirkan menerusi kunjungan hormat Menteri Luar Republik Turkiye Hakan Fidan kepada Anwar, dengan perbincangan tertumpu kepada landskap serantau dan global serta iltizam memperkasa hubungan dua hala melalui kerjasama erat kementerian luar kedua-dua negara.

Perdana Menteri turut menerima kunjungan hormat Setiausaha Industri Pertahanan Turkiye Prof Dr Haluk Gorgun, bagi membincangkan pembangunan keupayaan pertahanan, pemindahan teknologi serta latihan dan pembangunan modal insan.

Anwar juga menghadiri Mesyuarat Meja Bulat bersama Ketua Industri yang menghimpunkan 46 syarikat Malaysia dan Turkiye dalam sektor pertahanan dan aeroangkasa, semikonduktor dan elektronik, automotif dan kenderaan elektrik serta industri halal, bagi meneroka peluang kerjasama baharu.

Lawatan rasmi pertama Anwar ke Turkiye turut mencatat detik bermakna apabila beliau dianugerahkan pingat Order of the Republic oleh Erdogan sebagai pengiktirafan terhadap peranan beliau mengukuhkan hubungan Malaysia-Turkiye.

Sempena lawatan bermula Selasa lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan menghadiri Majlis Sentuhan Kasih MADANI bersama Diaspora Malaysia, melibatkan golongan profesional dan pelajar, bagi memperkukuh hubungan kerajaan dengan rakyat Malaysia di Turkiye.

Turkiye merupakan antara rakan ekonomi penting Malaysia dengan jumlah perdagangan mencecah RM21.2 bilion (US$4.92 bilion) bagi tempoh Januari hingga November 2025.

Republik itu juga rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (US$5.28 bilion), pada 2024.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan