AM > BERITA

Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga Sabah Kutip Hasil Lebih RM40 Juta Pada 2025

10/01/2026 05:20 PM

LABUAN, 10 Jan (Bernama) -- Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) mencatatkan kutipan hasil melebihi RM40 juta sepanjang 2025, meningkat berbanding lebih RM39 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ewon Benedick berkata JPDS antara jabatan dan agensi baharu yang diletakkan di bawah kementeriannya susulan penyusunan semula portfolio pengangkutan.

Beliau berkata JPDS memainkan peranan penting sebagai pengawal selia lalu lintas air dan pemaju jeti awam, menjadikannya antara penyumbang utama kepada hasil Kerajaan Negeri Sabah.

“JPDS bertanggungjawab mengawal selia lalu lintas air di kawasan pelabuhan, jeti, sungai, kawasan pesisir pantai dan zon pasang surut. Selain itu, JPDS turut menyediakan dan menyelenggara kemudahan seperti dermaga kerajaan, jeti awam, jeti perdagangan barter dan terminal pendaratan penumpang,” katanya dalam kenyataan selepas melakukan lawatan kerja ke JPDS yang berpangkalan di Labuan hari ini.

Semasa lawatan itu, Ewon diberi taklimat mengenai peranan, perkembangan semasa dan pelan masa depan JPDS di seluruh Sabah oleh Pengarah JPDS Maswandie Maimon.

Ewon juga menyatakan penghargaan terhadap inisiatif sedia ada serta pelan pembangunan yang dilaksanakan oleh JPDS bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik.

Sementara itu, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), JPDS dijadual melaksanakan 23 projek dengan jumlah peruntukan diluluskan sebanyak RM4.75 juta bagi 2026.

Antara projek yang dirancang termasuk pembinaan bantuan navigasi, jeti terapung untuk kapal kecil, pengukuhan penguatkuasaan serta latihan, pembinaan sistem pemantauan lalu lintas kapal dan menara radar, terminal feri, kemudahan dan Jeti Perdagangan Barter serta pembinaan kompleks ibu pejabat JPDS di Kimanis dan pembinaan semula kuarters kakitangan JPDS di Kota Kinabalu.

Semasa lawatan kerja itu, Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah bersama delegasi turut mengunjungi Pandikar Food yang berpangkalan di sini, sebuah perusahaan yang menghasilkan produk sambal garing berasaskan udang dan ikan, dikendalikan seorang usahawan dari Tuaran, Sabah yang telah berjaya menembusi pasaran Brunei menerusi produk berkenaan.

Delegasi itu kemudian mengunjungi cawangan QCC Baked di Labuan, sebuah perusahaan yang bermula di Kompleks SEDCO dan sebelum ini menerima bantuan di bawah Program Transformasi Usahawan Sabah.

Sejak itu, ia telah berkembang menjadi perniagaan francais dengan lapan cawangan di Sabah, dua di Labuan dan lima di Semenanjung Malaysia.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan