AM > BERITA

400 Kampung Dipilih Kampung Angkat MADANI Tahun Ini

10/01/2026 04:50 PM

Oleh Rashidah Abd Rahim

MELAKA, 10 Jan (Bernama) -- Sebanyak 400 kampung di seluruh negara akan dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI dengan peruntukan RM500,000 untuk setiap kampung bagi projek yang akan dilaksanakan pada tahun ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI diteruskan selepas banyak impak positif daripada pelbagai aspek antaranya sosial, ekonomi dan kebajikan dapat dilihat kepada komuniti setempat.

Beliau berkata inisiatif itu juga dilihat bukan sahaja menyelesaikan masalah rakyat malah merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

"Kita tidak perlu projek-projek mega, projek mewah dan sebagainya sebaliknya ia perlu menyelesaikan masalah atau kerumitan yang berlaku dalam komuniti seperti menyelesaikan masalah banjir yang kebanyakannya disebabkan kegagalan sistem perparitan.

"Selain itu, ia juga boleh melibatkan pembangunan prasarana atau fasiliti asas lain yang dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat tetapi tidak diselenggara dan dijaga dengan baik seperti gelanggang futsal atau sepak takraw," katanya kepada Bernama pada Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI Kampung Sungai Putat, di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya merangkap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh Kerk Chee Yee dan Pengarah Pembangunan Negeri Melaka Mohd Shahril Shari.

Terdahulu, Muhammad Kamil berkata sebagai contoh, Program Kampung Angkat MADANI Kampung Sungai Putat melibatkan pelaksanaan sebanyak 11 projek fizikal dan program kebajikan serta kemasyarakatan membabitkan peruntukan RM1 juta.

Beliau berkata projek fizikal membabitkan pembinaan dewan terbuka, tandas baharu di Masjid Kampung Sungai Putat dan mercu tanda Kampung Angkat MADANI, menaik taraf sistem perparitan dan saliran, balai raya dan pintu gerbang Kampung Sungai Putat, pemasangan lampu solar di beberapa lokasi dan penurapan jalan.

Pelaksanaan program di bawah inisiatif itu pula ialah program pembangunan belia dan wanita, kebajikan dan kemasyarakatan serta gotong-royong pengindahan kampung.

"Aspirasi kami dalam Kerajaan MADANI adalah untuk melihat rakyat tersenyum kerana keperluan mereka dipenuhi selain kampung terlibat bertukar wajah menjadi sebuah perkampungan moden yang memiliki kemudahan sempurna," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan