KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Kerajaan akan terus bekerja keras bagi memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peluang pekerjaan yang lebih baik, pendapatan bermaruah dan masa depan lebih terjamin untuk rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi catatan di Facebook beliau berkata kadar pengangguran negara menurun ke paras terendah dalam tempoh 11 tahun, setakat akhir tahun lepas.
“Pasaran buruh di pelbagai sektor pula kekal stabil, didukung kedudukan ekonomi yang semakin menggalakkan.
“Ini hasil usaha keras Kerajaan MADANI membina dan mengukuhkan semula asas negara sejak tiga tahun lalu,” kata Anwar.
Kadar pengangguran negara pada November 2025 dilaporkan mencatat penurunan ke paras terendah dalam tempoh 11 tahun apabila berada pada 2.9 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan sebelum ini berkata jumlah tenaga buruh meningkat 0.2 peratus kepada 17.61 juta orang pada November 2025 berbanding 17.58 juta orang pada Oktober 2025 manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial