BERITA TERGEMPAR   Warga ATM terlibat aktiviti tidak bermoral, rosakkan imej ATM akan disingkir daripada perkhidmatan - Mohamed Khaled | 
 AM > BERITA

PM Anwar Hadir Saksikan Aksi Final Terbuka Malaysia 2026

11/01/2026 08:48 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa menyaksikan aksi final Kejohanan  Badminton Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini.

Ketibaan Anwar disambut Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kira-kira jam 5 petang. 

Kehadiran Perdana Menteri itu mencerminkan sokongan berterusan kerajaan terhadap pembangunan sukan negara, khususnya badminton yang merupakan antara sukan kebanggaan rakyat Malaysia.

Anwar turut menyampaikan hadiah pada sesi beregu lelaki yang menyaksikan pasangan negara Aaron Chia–Soh Wooi Yik muncul naib juara selepas tewas kepada juara bertahan Kim Won Ho–Seo Seung Jae dari Korea Selatan dengan keputusan 15-21, 21-15 dan 18-21 dalam tempoh 66 minit. 

Ini merupakan kali kedua Aaron-Wooi Yik tewas kepada pasangan yang sama, sekali gus menyaksikan negara terus kemarau gelaran beregu lelaki Terbuka Malaysia sejak kali terakhir dimenangi oleh Goh V Shem-Lim Khim Wah pada 2014.

Sementara itu, Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata walaupun nasib tidak menyebelahi pasangan negara, persembahan ditampilkan Aaron dan Wooi Yik tetap membanggakan serta mencerminkan semangat juang tinggi hingga ke mata akhir perlawanan.

"Walaupun nasib tidak menyebelahi kita, saya dan seluruh rakyat berbangga dengan semangat juang Aaron–Wooi Yik, yang begitu hampir menumpaskan lawan.

"Teruskan bekerja keras, perbaiki setiap kelemahan dan kekalkan keyakinan. Insya-Allah, lebih banyak kejayaan akan dicapai selepas ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan