AM > BERITA

Penyelesaian Interim Kesesakan Pelabuhan Sepanggar Dibentang Ke Kabinet Negeri - Ewon

11/01/2026 06:22 PM

KOTA KINABALU, 11 Jan (Bernama) -- Cadangan penyelesaian interim bagi menangani isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar akan dibentangkan ke Kabinet negeri dalam masa terdekat, kata Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ewon Benedick.

Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri itu berkata langkah penyelesaian segera itu perlu dilaksanakan memandangkan projek jangka panjang seperti perluasan pelabuhan berkenaan mengambil masa untuk disiapkan.

Beliau berkata isu kesesakan itu kini diletakkan sebagai keutamaan nombor satu kementerian berkenaan kerana pelabuhan itu menjadi pemboleh ubah utama kepada keseluruhan ekosistem perindustrian dan keusahawanan di Sabah.

“Kesesakan di pelabuhan ini memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan, kos logistik serta daya saing industri dan usahawan di negeri ini. Oleh itu, ia menjadi keutamaan untuk diselesaikan.

“Susulan aduan mengenai isu ini, hari ini saya menyertai sebuah (kenderaan) prime mover dari depo di Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu ke Pelabuhan Sepanggar mengambil kontena bagi meneliti sendiri situasi sebenar,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan tinjauan di pelabuhan itu di sini hari ini.

Ewon berkata hasil tinjauan mendapati aduan yang disuarakan oleh pemain industri adalah berasas dengan beberapa faktor penyumbang dikenal pasti, termasuk aspek kecekapan operasi yang perlu ditangani segera.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata beberapa siri perbincangan akan diadakan bersama pihak berkepentingan sebelum kertas Kabinet dibentangkan bagi mendapatkan kelulusan penyelesaian interim berkenaan.

Beliau turut memberi jaminan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan kelancaran operasi pelabuhan demi menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah secara mampan.

Pelabuhan Sepanggar terletak kira-kira 20 kilometer arah timur laut dari Kota Kinabalu dan kapasitinya sedang ditingkatkan daripada 500,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kepada 1.2 juta TEU setahun namun langkah itu berdepan kelewatan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan