GEORGE TOWN, 12 Jan (Bernama) -- Pulau Pinang memasuki fasa baharu pengangkutan awam apabila Prasarana Malaysia Bhd menerusi anak syarikat Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) menggantikan bas lama Rapid Penang dengan bas elektrik (EV) secara berperingkat bermula tahun ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata sebanyak 250 bas elektrik dijangka diperoleh secara berperingkat dalam tempoh setahun bermula Mac ini melibatkan 75 bas untuk Rapid Penang yang dijadualkan beroperasi bermula Mei manakala pembelian 175 lagi untuk Rapid KL.
“Bagi memastikan operasi bas EV dapat dijalankan, kerajaan melalui Prasarana sedang melaksanakan pembangunan infrastruktur pengecasan di depoh Rapid Penang yang telah pun bermula,” katanya pada sidang media Majlis Tinjauan Operasi Bas Diesel Rapid Penang di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Loke berkata langkah itu selari dengan hala tuju baharu Prasarana yang memberi tumpuan kepada penggunaan bas mesra alam bagi mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam.
Beliau yakin pengenalan bas elektrik akan menjadi pengubah keadaan kepada sistem pengangkutan awam di negeri itu dan seterusnya menyokong hasrat kerajaan negeri menjadikan Pulau Pinang negeri lebih mesra alam.
Beliau juga memaklumkan Rapid Penang akan menerima baki 60 daripada 70 bas diesel bersaiz 8.9 meter secara berperingkat menjelang akhir Februari sekali gus melengkapkan sebahagian daripada 175 bas diesel kumpulan akhir daripada 310 bas diesel diperoleh Rapid Bus sejak Julai 2025 untuk pengoperasian di Lembah Klang dan Pulau Pinang.
Mengenai kos perolehan, Loke berkata bas EV secara purata hampir dua kali ganda lebih mahal berbanding bas diesel dengan anggaran harga lebih RM1 juta sebuah.
Sementara itu, Loke memaklumkan perkhidmatan Rapid Penang On-Demand yang menggunakan van menerima sambutan menggalakkan dengan 50 buah kenderaan itu kini beroperasi di Pulau Pinang.
Susulan permintaan kerajaan negeri, Prasarana bercadang menambah 170 van bagi memperluas perkhidmatan itu, dengan proses perolehan dijangka bermula pada pertengahan kedua tahun ini.
“Penambahan ini akan memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna, meningkatkan kapasiti dan memperluas liputan perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pinang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial