SHAH ALAM, 12 Jan (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan aktiviti penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat dihentikan secara beransur-ansur dan operasi berkenaan dipindahkan sepenuhnya ke Bukit Tagar mengikut perancangan serta mematuhi semua keperluan perundangan dan peraturan berkaitan.
Istana Alam Shah dalam kenyataan hari ini memaklumkan baginda turut menitahkan satu kajian terperinci serta bancian menyeluruh berasaskan data sah dilaksanakan bagi mengenal pasti statistik serta kuantiti sebenar keperluan dan permintaan daging babi khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Selangor.
“Baginda menegaskan tiada sebarang tujuan atau perancangan untuk mengeksport hasil penternakan tersebut. Dapatan kajian ini hendaklah dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan babi di Bukit Tagar, supaya ia kekal pada tahap yang munasabah dan terkawal,” menurut kenyataan itu.
Ketetapan itu merupakan antara tiga perkara yang diperkenankan baginda berhubung pengurusan dan hala tuju operasi penternakan babi di Selangor, dengan mengambil kira kepentingan rakyat, kesejahteraan alam sekitar serta keharmonian sosial di negeri ini.
Keputusan itu dibuat selepas Sultan Selangor menerima menghadap Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim serta Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.
Dalam pada itu, kenyataan berkenaan memaklumkan perkara ketiga yang ditegaskan baginda ialah Kerajaan Negeri Selangor tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan termasuk di kawasan Bukit Tagar.
“Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri,” menurut kenyataan itu.
Sultan Sharafuddin turut berharap semua pihak terlibat dapat melaksanakan ketetapan berkenaan dengan penuh tanggungjawab, berhemah serta mematuhi undang-undang, demi memastikan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini sentiasa terpelihara.
Sebelum ini, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial