AM > BERITA

Perbincangan MCMC Dengan Pihak X Diadakan 21 Jan - Fahmi

16/01/2026 08:28 PM

CYBERJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak platform media sosial X akan mengadakan satu pertemuan pada Rabu depan bagi membincangkan isu keselamatan dalam talian, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata ini termasuk tentang aplikasi kecerdasan buatan (AI), Grok serta tentang kebimbangan terhadap potensi penyalahgunaan Grok khususnya dalam penghasilan kandungan lucah dan kandungan yang melanggar undang-undang negara.

“Bagi Grok, kita telah mengenal pasti beberapa cara (yang) ia masih boleh disalahgunakan. Namun, kita berharap pihak X dapat melakukan beberapa penambahbaikan bagi menyekat penyalahgunaan kandungan lucah dan yang melanggar undang-undang negara.

“Setakat ini, kita melihat pasukan X memberikan kerjasama yang baik dan terbuka untuk adakan perbincangan,” kata Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI kepada Bernama dan RTM, selepas menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Penerangan (JAPEN) di sini hari ini.

Pada 11 Jan, MCMC mengarahkan sekatan sementara terhadap akses AI Grok bagi pengguna di Malaysia berkuat kuasa hari yang sama.

Menurut kenyataan MCMC, langkah itu diambil berikutan penyalahgunaan Grok bagi menjana kandungan lucah dan eksplisit secara berulang, selain kewujudan kandungan tidak senonoh serta imej manipulasi tanpa persetujuan membabitkkan wanita dan kanak-kanak walaupun notis kawal selia telah dikeluarkan kepada X Corp dan xAI LLC.

Pada 14 Jan lepas, MCMC dilaporkan berkata agensi itu sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap X Corp (dahulunya Twitter) dan xAI LLC, susulan kegagalan mereka memastikan keselamatan pengguna di Malaysia berkaitan penggunaan Grok.

MCMC turut memaklumkan bahawa peguam cara telah dilantik dan prosiding undang-undang akan bermula dalam masa terdekat.

Selain itu, Fahmi berkata semua platform media sosial juga telah memulakan perbincangan dengan MCMC tentang cadangan mengehadkan penggunaan media sosial kepada pengguna berumur 16 tahun ke atas.

Fahmi berkata ketika ini perbincangan tertumpu kepada isu teknikal serta mekanisme pelaksanaan larangan tersebut, yang masih dalam peringkat penelitian.

“Kita menjangkakan pelaksanaannya mungkin dalam tempoh beberapa bulan akan datang, namun tarikh tepat akan ditentukan sebelum saya membuat sebarang pengumuman,” katanya.

Pada masa sama, Fahmi berkata terdapat juga beberapa platform lain yang pada asalnya tidak termasuk dalam kumpulan sasar, telah menyatakan kesediaan untuk terlibat secara sukarela.

“Saya merasakan belum masanya untuk menamakan platform-platform tersebut, namun saya melihat ini sebagai satu usaha yang baik daripada pihak platform yang secara proaktif ingin memahami usaha kerajaan bagi memastikan Internet yang lebih selamat, khususnya untuk kanak-kanak,” kata Fahmi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan