AM > BERITA

Salah Tanggapan Terhadap Obesiti Menjadi Halangan Kepada Rawatan Awal - Pakar

16/01/2026 09:13 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Obesiti di Malaysia sering disalah anggap sebagai situasi kesihatan yang dikaitkan dengan pilihan gaya hidup sedangkan ia merupakan penyakit kronik yang didorong oleh pelbagai faktor biologi dan persekitaran.

Pakar kesihatan berkata salah tanggapan itu telah menyumbang kepada stigma berterusan yang membentuk sikap masyarakat serta menghalang individu yang hidup dengan obesiti atau berat badan berlebihan daripada mendapatkan rawatan perubatan lebih awal.

Akibatnya, rawatan sering tertangguh hingga mencetuskan komplikasi serius, termasuk penyakit kardiovaskular.

Presiden Persatuan Obesiti Malaysia Prof Dr Rohana Abdul Ghani berkata obesiti merupakan penyakit progresif dan jika tidak diuruskan dengan baik dalam jangka panjang obesiti akan meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular, penyakit buah pinggang serta komplikasi serius lain.

“Intervensi perubatan awal sangat penting malah obesiti perlu diuruskan seperti penyakit kronik lain, seperti diabetes atau hipertensi. Ia memerlukan rawatan berterusan dalam jangka panjang bukan dengan mencari penyelesaian jangka pendek,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran Wegovy, iaitu rawatan tambahan untuk orang dewasa yang hidup dengan obesiti dan berat badan berlebihan yang mempunyai sekurang-kurangnya satu komorbiditi berkaitan berat badan.

Mengulas mengenai amalan diet popular yang menawarkan penurunan berat badan secara pantas, beliau memberi amaran bahawa pendekatan sedemikian selalunya tidak kekal dan boleh memburukkan lagi tahap kesihatan.

“Diet pantas sering menyebabkan berat badan kembali meningkat dan perubahan metabolik boleh mencetuskan risiko keradangan dan penyakit kardiovaskular. Pengurusan obesiti yang berkesan melibatkan penurunan berat badan secara berperingkat dan penyelenggaraan jangka panjang di bawah pemantauan perubatan,” jelasnya.

Beliau turut menekankan salah faham berkaitan rawatan perubatan bagi obesiti, dengan menyatakan ubat-ubatan bukan “penyelesaian ajaib” dan penggunaannya mestilah seiring dengan perubahan diet serta gaya hidup yang khusus.

“Farmakoterapi merupakan rawatan sokongan kepada pengubahsuaian gaya hidup. Pesakit masih memerlukan motivasi, disiplin dan bimbingan profesional untuk mencapai hasil yang berkekalan,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Pusat Perubatan Subang Jaya Prof Emeritus Dr Chan Siew Pheng berkata Malaysia terus dibebani dengan masalah berat badan berlebihan dan obesiti yang serius, dipengaruhi oleh persekitaran kehidupan moden yang menggalakkan pengambilan kalori secara berlebihan.

“Genatik memainkan peranan namun persekitaran tempat kita hidup sangat mempengaruhi tabiat pemakanan kita. Kita mempunyai akses kepada makanan sepanjang masa, tempat makanan 24 jam dan norma sosial yang melihat makan bersama adalah tanda persahabatan dan penghormatan,” katanya.

Dr Chan berkata amalan sedemikian menyukarkan perubahan sikap sekali gus menyumbang kepada peningkatan kadar obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan norma budaya tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya terhadap masalah obesiti yang semakin serius memandangkan kesedaran tentang risiko kesihatan akibat berat badan berlebihan semakin meningkat.

“Apa yang mengambil masa ialah untuk merubah sikap, dengan tidak sentiasa menjadikan makanan sebagai pusat interaksi sosial serta menyedari bahawa memberi keutamaan kepada kesihatan lebih penting daripada memenuhi jangkaan sosial,” tambahnya.

Tekanan ekonomi turut dikenal pasti sebagai cabaran dalam pengurusan obesiti, khususnya tanggapan bahawa pilihan makanan sihat adalah mahal, namun Dr Chan berkata tanggapan itu tidak semestinya mencerminkan realiti.

“Malaysia mempunyai tahap keselamatan makanan yang baik serta bekalan makanan yang mencukupi. Isu sebenar adalah berkaitan dengan saiz hidangan dan pengambilan kalori, bukannya kekurangan akses. Mengurangkan saiz hidangan serta memilih sayur-sayuran dan makanan berserat tinggi yang mampu milik sudah memadai untuk membawa perubahan yang bermakna,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Novo Nordisk Pharma (M) Sdn Bhd Dr Praful Chakkarwar berkata berdasarkan data kebangsaan, hampir seorang daripada dua orang dewasa di Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau hidup dengan obesiti, dengan anggaran 2.3 juta orang terjejas akibat masalah itu berserta penyakit tidak berjangkit lain seperti diabetes, hipertensi dan dislipidemia.

Sehubungan itu, Dr Praful menekankan keperluan untuk mengubah naratif sosial daripada menyalahkan individu kepada pendekatan yang lebih menyokong dan berasaskan bukti, sambil menambah bahawa pengurusan obesiti secara menyeluruh bukan sahaja dapat memperbaiki kesihatan fizikal, malah kesejahteraan emosi serta kualiti hidup.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan