AM > BERITA

Mahasiswa Cadang Penyaluran SARA Diperluas Kepada E-Dompet

17/01/2026 01:18 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Perwakilan UMNO mencadangkan supaya kaedah penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diperluas kepada e-dompet bagi mengoptimumkan penggunaan bantuan itu dalam kalangan mahasiswa.

Mohamad Amar Aidid Mohd Zain, yang mewakili mahasiswa, berkata golongan itu lebih bergantung pada pembelian makanan siap, sekali gus menjadikan bantuan melalui e-dompet lebih praktikal.

“Mahasiswa tidak dibenarkan memasak di kampus, jadi kami tidak membeli beras, telur atau minyak   masak. Jika penyaluran (SARA) diberikan dalam kad pengenalan, langkah itu merumitkan mahasiswa untuk menggunakan inisiatif yang baik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO 2025 di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau memohon pucuk pimpinan UMNO supaya membawa perkara itu kepada Kabinet untuk dipertimbangkan.

Bantuan SARA untuk golongan bujang yang layak hingga RM100 sebulan dikreditkan menerusi MyKad bermula semalam dan boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas di pasar raya dan kedai berdaftar.

Semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas pula akan menerima RM100 secara sekali beri mulai 9 Feb ini.

Sementara itu, perwakilan Perak Datuk Dr Azhar Ahmad mengusulkan supaya gagasan Rumah Bangsa tidak hanya melibatkan pemimpin politik, tetapi golongan akademik dan profesional tanpa mengira aliran pemikiran barat atau tempatan.

Beliau berkata Rumah Bangsa perlu bersifat inklusif dan tidak hanya sekadar melindungi golongan elit  politik, sebaliknya menjadi tempat bernaung orang Melayu pelbagai peringkat.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasar semalam berkata UMNO berperanan sebagai Rumah Bangsa, iaitu tempat untuk menyatukan kembali orang Melayu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan